DAR Terus Berdaya Saing

1236

Oleh : Nooreni Abu Bakar
Gambar : Wan Amirullah Wan Mansor

DUNGUN – Walaupun Kerajaan Negeri Terengganu telah mengadakan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) sekolah DAR di bawah kelolaan Dewan Ulama PAS Negeri tetap berdaya saing.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato’ Ustaz Husain Awang berkata permintaan untuk memasuki sekolah PAS tidak berkurang bahkan terus meningkat.

Menurutnya, ia dalah kerana faktor para pendidik di sekolah tersebut yang ikhlas mendidik anak-anak.

“Guru-guru kita adalah guru yang penuh dengan keyakinan, bekerja demi kerana Allah subhanahu wa ta’ala.

“Masing-masing sedar bahawa bidang yang mereka ambil sekarang ini adalah merupakan sebahagian daripada bidang perjuangan atau berjihad pada jalan allah subhanahu wa taala,” ujarnya yang terharu dengan sifat guru-guru yang istiqamah.

Ustaz Husain berucap demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam(UPSRI) Madrasah DAR Terengganu 2019 yang telah diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini pada 23 November.

Anggapan beliau yang menyangka pelajar sekolah DAR akan menurun apabila ditubuhkan SRIDI adalah meleset sama sekali.

“Saya menganggap sedemikian rupa, rupa-rupanya ini hanyalah meleset,sebaliknya senarai menunggu untuk kemasukan SRIDI melebihi daripada keupayaan yang ada.

“Permohonan untuk memasuki ke sekolah kita juga tidak pernah berkurangan melebihi target malahan permohonan untuk ke tahun hadapan sudah penuh.

“Sebenarnya sebahagian besar sekolah-sekolah telah menutup permohonan untuk kemasukan tahun hadapan, malahan untuk tahun 2021 ada yang sudah pun ditutup untuk kemasukan pelajar baharu,” tegas beliau.