PASTI Bakal Dibuka Di Pulau Perhentian Pada Tahun Hadapan

2953

Oleh: Saifullah Jusoh
Foto: Afiq Zohir, Jusmawari Jusoh

BESUT – Sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bakal dibuka di Pulau Perhentian, Besut bermula tahun 2020.

Menurut Pengarah PASTI Kawasan Besut, Syamri Razak, PASTI yang diberi nama PASTI Lukluk itu merupakan yang pertama di Pulau Perhentian.

“Kami bekerjasama dengan pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut, Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Besut dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Perhentian bagi merealisasikan hasrat ini.

“Dengan adanya PASTI di Pulau Perhentian, in shaa Allah kita akan dapat melahirkan lebih ramai anak-anak yang celik Al Quran dan faham agama,” ujar Syamri Razak.

Beliau berkata ketika menyampai ucapan dalam Majlis Ihtifal PASTI Kawasan Besut 2019 di Dewan Kota Putera Square, Besut pada 23 November 2019.

Majis itu telah dirasmikan oleh ADUN Kota Putera, YB Haji Nurkhuzaini Abd Rahman.

Seramai 450 orang anak PASTI Kawasan Besut telah diraikan dalam majlis itu yang cemerlang akademik dan sahsiah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah, Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan, Bendahari PAS Kawasan Besut, Haji Azbi Salleh dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut, Hakim Zulfikri.