PAS Marang Mantapkan Pelan Strategik Untuk kekalkan Kemenangan

1103

Oleh : Aziz Hambali

KUALA PERLIS – Parti Islam Semalaysia (PAS) Kawasan Marang memantapkan lagi pelan strategik dalam mendepani cabaran politik dan dakwah semasa.

Setiausaha PAS Kawasan Marang, YB Ustaz Sulaiman Sulong berkata, ia demi mengekalkan serta mempertahankan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, pelan tindakan dirangka sepanjang permukiman (retreat) jawatankuasa PAS Kawasan Marang sebagai satu persediaan awal bagi meningkatkan lagi kemenangan di Kawasan dan DUN-DUN di Marang.

“Alhamdulillah, hari ini kita baru sahaja selesai retreat PAS Kawasan Marang bagi kita menyempurnakan Pelan Tindakan sehingga tahun 2023 demi kelangsungan Islam dan PAS di bumi Marang.

“Disamping kita juga telah menyempurnakan dokumen Marang Maju Berkat Sejahtera yang akan diguna pakai untuk membangunkan dan juga menguruskan pentadbiran dan juga perkembangan PAS di Kawasan Marang dalam mendepani cabaran politik semasa khususnya di era muafakat bersama rakan taawun siyasi bersama dengan Barisan Nasional,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan berkata demikian ketika ditemui sebaik sahaja selesainya majlis penutup ‘Retreat’ di sini, pagi semalam.

Oleh itu, kata beliau, masih banyak lagi kerja yang perlu dilaksanakan dalam mengukuhkan keberadaan PAS terutamanya dengan termeterai perjanjian taawun siyasi antara PAS-UMNO.

“Terima kasih buat semua peserta atas komitmen yang diberikan dalam kita menjayakan retreat menyusun strategi-strategi yang perlu untuk kita laksanakan bagi memastikan PAS bukan sahaja kuat di DUN tertentu tetapi menyeluruh di semua DUN di peringkat Kawasan Marang, insyaAllah,” katanya.

Tambah beliau, seramai 40 peserta yang terlibat dengan Retreat PAS Kawasan Marang yang diadakan selama tiga hari dua malam bermula 31 Oktober – 2 November 2019 di Aseania Resort, Langkawi, Kedah.

PAS Kawasan Marang diketuai oleh Menteri Besar Terengganu YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Yang Dipertua PAS kawasan merangkap ADUN Rhu Rendang.