KUALA TERENGGANU – Pengunjung dan peniaga Pasar Besar Kedai Payang 2, berpeluang menambahkan ilmu ugama sambil berjual beli, apabila program ‘tazkirah zohor’ akan diadakan kelak.
Ketua Lujnah Dakwah PAS Kuala Terengganu, YB Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata surau baharu Pasar tersebut akan menyiarkan siri tazkirah itu melalui pembesar suara ke seluruh kompleks pasar itu.
“in shaa Allah melalui persatuan (Persatuan Peniaga Dan Penjaja Kecil) akan disusun jadual supaya ada tazkirah pendek selepas waktu solat zohor,
“kita panggil ustaz-ustaz untuk menyampaikan ilmu supaya suasana pasar ini lebih baik dengan peringatan tentang ugama yang setiasa sampai ke telinga pembeli dan peniaga,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Pasar ‘tersohor’ itu, semalam.
Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof bersyukur kerana jemaah sentiasa memenuhi surau sejak Pasar Payang baharu itu dibuka.
“penuh sokmo, waktu zohor, elok sangat kalua ada tazkirah dan saya bersetuju (bagi pihak persatuan) dengan cadangan YB (Ustaz Ahmad Shah),
“kita harap orang ramai dapat sama-sama menyokong usaha murni ini,” ujarnya yang menambah, pihak persatuan mengalu-alukan sebarang sumbangan bagi menghidupkan majlis ilmu tersebut.











