10,000 wanita Mesir turun ke jalan raya desak pemimpin tentera letak jawatan

933

KAHERAH – Lebih 10,000 wanita  berarak ke kawasan pusat Kahirah sambil mendesak para pemimpin tentera yang memerintah Mesir supaya meletak jawatan.

Ia merupakan satu perhimpunan besar yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Perarakan itu sebagai menunjukkan kemarahan kaum wanita di negara itu terhadap satu insiden yang membabitkan sekumpulan askar yang menarik rambut para pembantah wanita, memijak-mijak mereka dan menanggalkan pakaian salah seorang daripada mereka dalam satu bantahan minggu lalu. (Gambar bawah)

Protes dramatik itu bertambah besar awal semalam sedang para wanita itu berarak dari Dataran Tahrir ke kawasan pusat bandar.

Ia didorong oleh tersebarnya imej-imej yang menunjukkan penganiayaan terhadap para pembantah wanita minggu lalu.

Ramai daripada pembantah wanita itu membawa gambar seorang wanita muda yang ditanggalkan pakaiannya oleh askar sehingga menampakkan pakaian dalamnya, sedang beliau bergelut dengan para penyerangnya.

‘Tantawi telanjangkanlah wanita anda, mari ikut kami,’ laung para pembantah itu kepada orang ramai, sambil merujuk kepada Fil Marsyal Hussein Tantawi, ketua majlis tentera yang telah memerintah Mesir sejak 11 Februari lalu selepas penggulingan bekas presidennya, Encik Hosni Mubarak.

‘Anak-anak perempuan Mesir adalah satu barisan merah,’ laung para pembantah wanita itu lagi.

Sebelum berakhirnya protes tersebut, pihak majlis tentera telah mengeluarkan satu kenyataan tegas yang jarang dilakukannya sambil menyatakan rasa kesalnya terhadap apa yang disifatkannya sebagai ‘pelanggaran’ terhadap hak asasi wanita, selepas beberapa hari menafikan kesan penting akibat penganiayaan itu.

Majlis tersebut menyuarakan ‘rasa kesal yang amat mendalam terhadap wanita-wanita agung Mesir’ dan mengesahkan ‘penghormatan dan penghargaan penuhnya’ terhadap para wanita dan hak mereka untuk memprotes dan mengambil bahagian dalam politik.

Ia selanjutnya berjanji akan mengambil langkah menghukum mereka yang bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak asasi wanita itu.

Kenyataan itu menunjukkan bahawa pihak tentera Mesir khuatir bahawa serangan ke atas para wanita itu akan merosakkan kewibawaannya di dalam dan luar negara, yang sudah pun terhakis berikutan tindakan kerasnya ke atas para pembantah prodemokrasi yang menggesa tentera menyerahkan kuasa kepada pemerintahan awam, enam hari lalu.

Para jeneral yang memerintah itu telah berkempen akan terus memujuk orang awam ke pihaknya dalam konfrontasi itu, sambil menyifatkan para aktivis itu sebagai sekumpulan samseng, manakala menyifatkan pihak tentera sebagai pelindung negara yang terhormat dan tidak boleh dipersalahkan.

Dalam satu kenyataan tegas yang jarang dilakukan, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Rodham Clinton, Isnin lalu menuduh pasukan keselamatan Mesir dan para pelampau agamanya secara khusus menyasarkan tindakan mereka terhadap para wanita.

‘Pengaiban martabat wanita Mesir secara sistematik ini memalukan revolusi, mengaibkan negara dan tidak wajar bagi rakyat yang bertamadun,’ kata beliau.

Majlis tentera Mesir dalam satu kenyataannya, kelmarin, pula berkata ia bersedia berbincang mengenai sebarang inisiatif bagi membantu usaha mengukuhkan keselamatan di negara itu. — AP.