Oleh : Adli Mohamad
Jurufoto : Mohd Nor Azian
DUNGUN – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi mengambil tindakan segera masalah longgokan sampah di jalan utama yang menghubungkan Kampung Padang Ping dan Kampung Dendang.
Pengarahnya, Ghazali Sulaiman berkata, antara faktor yang menyebabkan masalah tersebut adalah kerana ketiadaan tong sampah dan tiada tempat khusus bagi pelupusan sampah.
Menurut beliau, Pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dendang telah menghantar surat kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
“Namun malangnya permintaan untuk mendapat tong sampah tidak dapat dipenuhi, dan KETENGAH meminta agar pihak kita mengajukan perkara berkenaan kepada Majlis Daerah Dungun.
“Buat masa ini kita telah pun menimbus sampah berkenaan dengan menggunakan jentolak, “ujarnya.


Menurut Ghazali, perkara tersebut bukan hanya sekadar menganggu pandangan mata bahkan mencemarkan alam sekitar.
“Sampah (yang) berselerak dan berlonggok ini boleh mengundang ataupun menjadi punca haiwan liar berkeliaran.
“Kerana itu kita memerlukan penyelesaian yang lebih baik dari pihak berwajib,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau juga telah mengadukan perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Ianya demi kesejahteraan dan juga untuk keselamatan penduduk.
“Jika isu berkenaan tidak diselesaikan besar kemungkinan ianya akan menjadi satu sejarah wujudnya kampung sampah, kerana itu kita mahu perkara ini diberi perhatian dan diselesaikan segera,” tegasnya.




























