Rakyat Russia tuntut keputusan pilihan raya dibatal

881

MOSCOW: Bantahan-bantahan meluas tercetus bermula di kawasan timur jauh Russia hingga ke Moscow, semalam, sedang para pengundi marah-marah dan menuntut keputusan pilihan raya negara itu yang dipertikaikan, dibatalkan.

Kejadian itu menjadi cabaran besar kepada pemerintahan ‘orang kuat’ Russia, Encik Vladimir Putin, yang telah berkuasa sejak 12 tahun lalu.

Perhimpunan paling besar yang pernah tercetus di Russia sejak zaman pergolakan 1990-an itu bermula di bandar pelabuhan Vladivostok, di mana 500 penduduk memberanikan diri membantah dalam keadaan sejuk musim salji dan kehadiran polis, demi meminta pihak berkuasa ‘memenjarakan mereka yang memalsukan undi’.

‘Batalkan saja keputusan pilihan raya,’ teriak para pembantah lain dengan sesetengahnya memakai reben putih yang menjadi simbol kekecewaan pihak pembangkang terhadap keputusan pilihan raya parlimen pada 4 Disember lalu yang memberikan kemenangan tipis kepada parti Russia Bersatu pimpinan Encik Putin.

Sekitar 20 orang pula ditahan di bandar pusat Khabarovsk, dekat sempadan timur China, di mana beerpuluhan pembantah berkumpul di Dataran Lenin sekali gus melanggar arahan polis agar orang ramai menjauhi jalan-jalan raya, lapor agensi berita RIA Novosti.

Pihak penganjur bantahan berkata, satu perhimpunan lebih besar terdiri daripada 3,500 orang diadakan Krasnoyarsk, sebuah bandar di Siberia, manakala 1,500 orang berhimpun di Tomsk – sebuah bandar yang terkenal dengan pergolakan sejak zaman Czar dan tempat di mana parti Encik Putin mengalami kekalahan teruk.

Perhimpunan-perhimpunan dengan slogan ‘Russia tanpa Putin’ dan ‘Menyokong pilihan raya adil’ juga diadakan di seluruh wilayah Ural dan Volga, manakala lebih 50,000 anggota polis antirusuhan dan askar-askar dikerahkan di dataran-dataran dan stesen-stesen kereta api bawah tanah Moscow.

Ratusan trak dan bas kementerian dalam negeri Russia dilihat diletakkan di sepanjang pusat ibu kota negara itu, sementara helikopter-helikopter berligar di udara.

Pasukan polis juga mengepung kawasan masuk ke Dataran Merah dengan trak-trak mereka.

Pihak berkuasa Moscow memberi kebenaran kepada 30,000 orang untuk berhimpun di sebuah dataran di seberang sungai dari Kremlin pada 2 petang (waktu tempatan) selepas menahan 1,600 aktivis yang menyertai perhimpunan yang tidak dibenarkan terhadap keputusan undian hujung minggu lalu.

Satu tunjuk perasaan bersaiz demikian adalah yang paling besar pernah berlaku di Moscow sejak lebih sedekad dan menjadi amaran pertama kepada pemerintahan bekas ejen risik luar negeri itu dan kumpulan anggota rapat beliau yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan keselamatan.

Parti Russia Bersatu, yang dipimpin Encik Putin, dicemari dakwaan rasuah dan dibandingkan dengan Parti Komunis era Soviet. Ia kehilangan cengkaman kuasanya dalam parlimen walaupun masih menguasainya dengan satu majoriti mudah yang didakwa musuhnya telah dibantu dengan satu undian yang dimanipulasi. — AFP.