Puluhan ribu rakyat Russia dijangka sertai tunjuk perasaan

774

MOSCOW: Berpuluh ribu rakyat Russia bersedia semalam bagi mengadakan tunjuk perasaan terbesar menentang keputusan pilihan raya yang baru berlalu.

Tunjuk perasaan itu juga menyebabkan hubungan dua hala antara Moscow dan Washington berada pada paras paling buruk dalam masa tiga tahun.

Perhimpunan di Moscow hari ini, yang diluluskan polis setelah rundingan beberapa hari dengan pembangkang, dijangka menarik sehingga 30,000 orang ke sebuah medan di seberang sungai dari Kremlin.

Selain itu, pembangkang dijangka menganjurkan perhimpunan di sekurang-kurangnya 13 bandar utama lain dalam ledakan rasa tidak percaya terhadap sistem yang diperkenal Perdana Menteri Vladimir Putin ketika beliau mula-mula menjadi presiden pada 2000.

Parti Encik Putin menang tipis pilihan raya Ahad lalu. Tetapi berita kemenangan itu disertai penyebaran video yang diambil rakyat biasa di Internet yang menggambarkan penipuan dan manipulasi proses undi.

Tunjuk perasaan yang menyusul memberi cabaran mengejut kepada Encik Putin dan menyebabkan beliau menyelar Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, kelmarin kerana menyampaikan rasa prihatin.

Beliau menuduh Cik Clinton sengaja memberi isyarat kepada pembangkang supaya mengadakan bantahan dan Jabatan Negara Amerika membayar kumpulan-kumpulan Russia agar mencari kesilapan pilihan raya itu.

Menurut Encik Putin, kritikan Washington telah menentukan suasana bagi sesetengah orang di dalam negara dan memberi mereka isyarat.

‘Mereka mendengar isyarat dan dengan sokongan Jabatan Negara Amerika mula bekerja secara aktif,’ katanya dalam ulasan pertama mengenai tunjuk-tunjuk perasaan itu.

Namun, jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Mark Toner, dengan tegas menafikan perkara itu.

Perbalahan diplomatik antara Encik Putin dan Cik Clinton bermakna suasana tegang membayangi pilihan raya presiden Mac depan, yang dijangka menyaksikan Encik Putin kembali ke Kremlin bagi tempoh 12 tahun lagi.

Sebelum ini, 1,600 orang diberkas dalam tunjuk perasaan selama tiga hari di Moscow dan bandar Saint Petersburg.

Pihak Kremlin menghadapi ancaman tunjuk perasaan yang bermula semalam merebak ke wilayah lain setelah beberapa kumpulan anti-Kremlin turut menganjurkan acara di bandar-bandar lain.

Menurut akhbar Kommersant, pihak berkuasa Russia mungkin tidak memberi perhatian secukupnya pada perubahan yang berlaku terhadap kesedaran bersama masyarakat.

‘Ada kemungkinan apa yang berlaku kini boleh berakhir dengan malapetaka bukan saja bagi pihak berkuasa, malah masyarakat,’ kata akhbar itu. — AFP.