Oleh : Adli Mohamad.
KUANTAN – Prasyarat yang diberikan kepada Umno dalam menjalinkan hubungan kerjasama ialah dengan memahami ‘konsep bersama’ dalam mencari titik persamaan iaitu dengan memastikan Islam Memimpin.
Presiden PAS Malaysia, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu telah difahami dan diterima oleh PAS dan Umno.
“Walaupun Umno (mempunyai) semangat nasionalis Melayu tapi (telah) menjadi kefahaman orang kita (bahawa) Melayu itu Islam dan Islam itu (adalah) Melayu.
“Cuma bezanya PAS menyatakan Islam dulu (baru) Melayu, mereka (UmUmno) pun Melayu Islam, itu sahajalah, jadi titik persamaan yang sangat mudah untuk kita satukan” ucapnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama para wartawan, di Muktamar Tahunan PAS kali ke-56, di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota, pada Jumaat 21 Jun.
Menurut beliau, kerjasama diantara Umno dan PAS bukanlah kali pertama ianya telah berlaku semasa berjuang kemerdekaan ketika menghantar memorandum terhadap Suruhanjaya Reid.
“PAS dan Umno sudah bersama berjaya meletakkan Islam sebagai agama persekutuan (sebagai) hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera,” ujarnya.
Tambahnya, ‘Internal Security Act'(ISA) yang merupakan akta bagi membela hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera bagi mengekang komunis, PAS telah menjalinkan kerjasama dengan Umno.
“Dengan PAS memberi isyarat jangan menyalahgunakan ISA.
“(Ianya) untuk menghadapi komunis sahaja walaupun (akhirnya) PAS menjadi mangsa.
“Kerjasama PAS dan Umno juga telah berlaku selepas konflik yang berlaku pada 13 Mei, “ujarnya.








