Kerajaan PAS Pentingkan Solat

2079

Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN – Kerajaan PAS Negeri Terengganu begitu mementingkan solat kerana ianya merupakan elemen yang membawa kepada kesejahteraan didalam masyarakat.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tanpa ibadat solat maka pincanglah sesebuah masyarakat mahupun kerajaan.

“Tiada mustahil, sesebuah kerajaan akan jatuh jika rakyatnya tidak mementingkan solat.

“Kerana itulah hasrat PAS apabila mentadbir sesebuah negeri adalah untuk melaksanakan Islam, ini terbukti bagaimana legasi kerajaan PAS kelantan begitu utuh mentadbir negeri berkenaan dengan memastikan rakyatnya bersolat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ditemui pihak media, ketika hadir merasmikan program Penghayatan Bulan Ibadat Solat peringkat DUN Bukit Besi, di Masjid Muhajirin Felda Jerangau, semalam.

Beliau menyatakan tidak mengambil masa yang lama untuk mengadakan program sedemikian selepas dilancarkan secara rasmi di peringkat negeri.

“Ianya dipilih oleh kerajaan negeri di bulan Rejab, kerana bulan inilah disyariatkan solat.

“Kita pun tidak lama lagi akan menyambut bulan kebesaran umat Islam iaitu bulan ramadhan, dengan penghayatan sebegini menjadikan kita lebih bersedia menghadapi ramadhan pada tahun ini,” ujarnya.

Hal yang demikian menurut beliau, akan menjadikan masyarakat akan lebih berada didalam keadaan sejahtera.

“Akhirnya akan membawa kepada maju, berkat dan sejahtera.

“Memastikan semua rakyat bersolat merupakan agenda atau perancangan yang perlu dilaksanakan dalam mengekalkan kemenangan PAS di negeri Terengganu, kerana itulah hasrat dan cita-cita PAS untuk menegakkan dan melaksanakan Islam didalam negara,” jelasnya.

Menurutnya lagi, tiada mustahil Pilihanraya Umum ke – 15 nanti, program ibadat solat itu akan dilancarkan di Putrajaya.

“Kerana PAS perjuangannya untuk ke Putraya bukan semata-mata untuk mendapatkan kekuasaan dan mengumpulkan kekayaan peribadi. Apa yang penting adalah memastikan Islam itu tertegak dan seluruh rakyat mendirikan solat.

“Dan tiada mustahil juga, suatu hari nanti ramai yang akan berbondong-berbondong masuk agama Islam, dan Negara Malaysia satu hari nanti akan menjadi sebuah negara yang maju dengan pentadbiran Islam seumpama Negara Madinah yang disinari cahaya Islam sehingga dikagumi lawan dan kawan, “tegasnya.