Oleh: Nizam at-Takiri
KUALA TERENGGANU – Umat Islam yang terkorban dalam tragedi tembakan rambang di masjid New Zealand adalah syahid kerana mempertahankan harta, maruah dan agama.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dalam hadis nabi SAW menyatakan, “bahawa barangsiapa yang terbunuh mempertahankan hartanya adalah mati syahid dan orang yang terbunuh mempertahankan maruahnya adalah mati syahid”.
“Orang yang terbunuh mempertahankan agamanya, mereka juga adalah mati syahid.
“Tahniah kepada mereka yang diambil nyawanya oleh Allah dengan cara sebegini kerana mereka diberikan pahala mati syahid oleh Allah dan kepada ahli keluarga dan umat islam haruslah bersabar dengan ujian Allah SWT,” jelas beliau.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata demikian ketika membahaskan isu berkaitan dalam sidang parlimen pada Isnin, 18 Mac.
Sehubungan itu, beliau menempelak pemimpin DAP yang mengaitkan isu terbabit dengan kerjasama antara parti PAS dan Umno.
“ada kalangan pimpinan ahli politik Malaysia yang mengaitkan apa yang berlaku di New Zealand dengan orang Islam di Malaysia pula, dikaitkan dengan strategi antara PAS dan Umno,
“Walaupun perkara ini telah diambil perhatian dan ditarik balik, kita berharap agar jangan berlaku lagi perkara seumpama ini,
“Dikala umat Islam sedang bersedih dengan apa yang berlaku, tiba-tiba dikaitan dengan orang Islam di Malaysia, yang majoritinya adalah orang-orang Islam yang memberi hak kepada orang bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka di negara ini,” tegas beliau.
Pada Jumaat yang lalu, dua insiden tembakan di dua masjid di Cristchurch, New Zealand yang membunuh 50 orang Jemaah yang hendak menunaikan solat Jumaat dan telah mendapat perhatian seluruh dunia.
Kejadian ini berlaku apabila seorang yang disyaki warganegara Australia, Brenton Tarrant telah menyerang dan menembak orang Islam yang sedang solat di Masjid An-Nur dan Pusat Islam Linwood, 16 Mac 2019.
Seramai 50 orang syahid dalam insiden ini dan menimbulkan kemarahan orang umat Islam dan bukan Islam seluruh dunia yang mengutuk sekeras-kerasnya kejadian ini










