KUALA TERENGGANU – Tidak sepatutnya sampah banyak tidak dikutip dan terbiar kerana bahagian pungutan sampah, telah diswastakan.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata, kontraktor lama masih lagi berkuatkuasa sehingga bulan April.
“Kontrak mereka tidak ada ada masalah dan masih lagi berkuat kuasa kontraktor yang lama dan kontraktor baru kita akan gunakan bulan April nanti,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Mesyuarat Agung Tahunan Khairunnisa’Kali Ke 17 di sini pada Khamis, 21 Februari.
Oleh itu katanya, tidak timbul masalah pembayaran gaji lewat kerana kekurangan aliran tunai yang dihadapi oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sudah selesai.
“Biasalah (bahagian) pentadbiran ada waktu-watu dimana gaji dibayar macam biasa tapi ‘overtime’ kadang-kadang ada kelewatan dari segi pembayarannya.


“Itu bukan isu yang berlaku sekarang dan kita sudah selesai dan mungkin berlaku kelewatan bayar pada syarikat swasta biasalah kerajaan bayar dua bulan, tiga bulan,” ujarnya.
Kata Dr Alias, kerajaan akan menampung pembayaran gaji kepada para pekerja sekiranya pihak Majlis Perbandaran tidak cukup duit.
“Bila majlis maklum tidak cukup duit makna kerajaan akan ‘topup’ macam biasa cuma proses nak minta tu makan masa sedikit dan hujung tahun biasalah kekurangan dana,” katanya.
Oleh itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada dedikasi yang ditunjukkan oleh kakitangan pihak Berkuasa Tempatan.
“Negeri kita bersih tapi memanglah rakyat tak puas hati nak lebih lagi tapi alhamdulillah kita akan buat lebih lagi .
“Saya ucap tahniah kepada pihak majlis dan kakitangan yang bekerja dedikasi sekali sehingga mencapai tahap antara negeri yang terbersih dan bandaraya yang terhebat,” tambahnya.




























