Mesyuarat Agung Agenda Perkasa Parti

2068

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – 78 buah cawangan PAS di seluruh Kemaman perlu mengadakan mesyuarat agung masing-masing supaya agenda memperkasakan parti terus dapat dapat dijalankan sebaik mungkin.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Che Alias Abd Hamid juga berkata, mesyuarat agung cawangan perlu diadakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan, bagi melicinkan perjalanan mesyuarat di peringkat dewan-dewan dan bahagian nanti.

“Sedikit peringatan, kita tidak hendak, apabila diberi mandat memerintah Negeri Terengganu ini, kita kadang-kadang menjadi leka dengan parti sehinggakan parti tidak mampu berfungsi, tidak bergerak di peringkat cawangan-cawangan.

“Oleh itu, kita mesti buktikan supaya setiap cawangan akan terus kekal bergerak dengan mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

Ustaz Che Alias Abd Hamid

“Berpandukan konsep parti menguasai kerajaan, kalau parti tidak hidup, bagaimana kerajaan hendak bergerak dengan baik kerana setiap program di peringkat kerajaan, akan juga membantu program-program parti khususnya di cawangan,” kata Ustaz Che Alias.

Beliau turut berkata, kekuatan PAS di peringkat cawangan bergantung kepada komitmen ahli serta kerjasama mereka melaksanakan aktiviti bersama masyarakat tempatan.

“Fungsi dan peranan mesyuarat agung tahunan adalah antaranya membawa suara ahli di peringkat bawahan untuk dibawa ke peringkat pimpinan tertinggi,” tegas Ustaz Che Alias lagi

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian, ketika di temui di akhir Program Pertemuan Mahabbah MPKK di Balai Raya Kampung Batu Putih, Kertih, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kawasan Kemaman, Mohd Hafiz Adam ketika dihubungi memberitahu, PAS Kemaman dengan jumlah keahlian seramai 12,570 orang, telah mula mengadakan mesyuarat agung cawangan bermula 4 Januari lalu hingga 20 Februari nanti.