KUALA NERUS – Salah faham terhadap maksud pengajaran agama yang tepat menyempitkannya pengertiannya, hanyalah diertikan kepada doa dan upacara sahaja.
Bendahari Dewan Ulama PAS Malaysia, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali berkata, itulah penyebab mengapa masyarakat tidak melihat Islam sebagai satu cara hidup dan penyelesaian masalah manusia.
“Pengajian agama di sekolah bukan hanya melibatkan doa tetapi keperluan fardhu ain,” tulis beliau di ‘facebook’nya di sini pada 22 Disember.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga, dalam satu kenyataan semalam, mengulas tajuk sebuah portal atas talian yang berbunyi “PM: Kurikulum sekolah akan dirombak, tumpuan bukan pada agama saja”.
Tetapi katanya, ia lebih luas melibatkan pelbagai skop kehidupan manusia dunia dan akhirat.
“pertamanya aqidah keyakinan terhadap alam dunia dan akhirat, dosa dan pahala, keduanya akhlak peribadi serta tingkah laku.
“Dan ketiganya peraturan kehidupan melibatkan ibadah diri terhadap Tuhan, peraturan berkeluarga, bermuamalah ekonomi dan urusan bernegara,” terang beliau dengan panjang lebar di dalam tulisan tersebut.
Menurut Ustaz Khairuddin, itu semua adalah dalam kerangka pendidikan untuk melahirkan individu yang baik pada tingkah laku dan keperibadiannya.
“Agar menjadi warganegara yang baik meski apapun profesion kerjayanya akan datang selepas alam persekolahan,” tulisnya lagi.
Katanya, beliau sedang menunggu penjelasan lengkap maksud Tun Mahathir untuk merombak kurikulum pendidikan kebangsaan termasuk melibatkan agama.
“Apa yang kita harapkan ialah maju selangkah ke hadapan memperkasakan pengajaran agama bagi membina jati diri,
“Di saat berleluasanya salah laku termasuk oleh golongan teknokrat dan profesional, bukannya undur ke belakang,” jelas beliau.










