Bersyukur diatas kemenangan An-Nahdah

795

Berikutan kemenangan Parti An Nahdah dalam pilihanraya Tunisia semalam, saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucapkan tahniah dan bersyukur kepada Allah SWT diatas kurniaan kemenangan yang diberikan kepada parti yang dipimpin oleh Sheikh Dr Rashid Ghanusi. Sebenarnya An Nahdah penah memenangi pilihanraya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan ini dinafikan dan Parti An Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ghanusi sendiri. Kita berharap kemenangan ini diterima oleh masyarakt antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh Parti Islam.

Kebetulan tiga minggu yang lalu, saya bertemu dengan Dr Rashid Ghanusi ketika sama-sama menghadiri Forum Parti-Parti Islam Se-dunia di Istanbul membincangkan krisis Asia Barat. Saya dimaklumkan An Nahdah boleh memenangi pilihanraya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding. Mereka besedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan parti-parti lain bagi menggantikan pemerintahan sebelumnya yang bersifat diktator dan ditunjangi dengan hanya satu parti. Ini kerana sebagai parti yang menyertai demokrasi, An Nahdah ingin menampilkan sikap toleransi dan bertolak ansur, walaupun majoriti rakyat Tunisia menerima An Nahdah. Ini kerana mereka sangat dekat dihati rakyat melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan dibawah, jauh sebelum musim pilihanraya lagi, walaupun dalam keadaan parti diharamkan.

Kita berharap kemenangan ini memberi semangat bukan sahaja kepada pendokong Parti Islam yang memilih demokrasi tetapi juga kepada rakyat dengan memberi peluang dan sokongan kepada Parti Islam memerintah dan memperbetulkan urus tadbir politik, ekonomi dan sosial negara setelah sekian lama berada dibawah rejim sekuler yang gagal memerintah Tunisia sehingga digulingkan rakyat.

PAS juga sebenarnya telah menghantar ucapan tahniah kepada An Nahdah melalui Dr Syed Azman yang menyertai pasukan pemerhati antarabangsa ke Tunisia ketika ini.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS