Rakyat Digesa Turun Himpunan Bantah ICERD

3268

Oleh : Hanif Hamdan

HULU TERENGGANU – Umat Islam mesti hadir untuk menyatakan bantahan kepada isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ianya menyentuh perkara berkaitan kepentingan Islam, Institusi Raja, Melayu dan Bumiputera.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, rakyat perlu memberi peringatan dan amaran kepada kerajaan pusat.

“ Pada hari ini, marilah kita bersatu seluruh umat Islam di Kuala Berang untuk hadir himpunan pada 8 Disember di Dataran Merdeka kerana kehadiran kita yang ramai mampu memberikan isyarat penting  bahawa umat Islam menolak sekeras-kerasnya ICERD ini daripada dilaksanakan, ” tegasnya.

Dr. Mamad Puteh sedang berucap

Beliau berkata ketika berucap dalam Himpunan Bantah ICERD di Masjid Kampung Butut, Kuala Berang di sini selepas solat jumaat  pada 23 November.

Menurut beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu, ICERD ini merupakan salah satu agenda yahudi yang pastinya akan memberikan kesan buruk kepada negara.

“ ICERD ini adalah agenda Yahudi melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita tidak akan sesekali ikut telunjuk dan peraturan mereka kerana kita sudah ada peraturan kita sendiri iaitu Al-Quran dan hadis,” tambahnya.

Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Kamaruzaman turut berucap.

Turut hadir dalam perhimpunan yang mendapat sambutan yang menggalakkan itu ialah Setiusaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Haji Muhyiddin Abd Rashid, Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu, Ustaz Harun Esa dan Ketua Pemuda DUN Kuala Berang, Ustaz Aminuddin Mohamed.