Oleh KAM
MARANG: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menasihati pihak yang terlibat mengedarkan Bible secara terbuka kepada orang ramai itu agar menjaga sensitiviti majoriti umat Islam di negara ini.
Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang turut mempelawa pihak terbabit dengan pengedaran Bible itu agar sedia berdialog secara terbuka.
Sepatutnya, kata Presiden PAS pihak Kristian di negara ini terbuka dengan orang Islam untuk berdialog bagi mencari kebenaran.
Beliau mempersoalkan, mengapa agenda Dr Zakir Naik yang sering kali mengadakan dialog cuba dibendung dan disekat.
“Sepatutnya pihak yang mengedar itu menghormati sensitiviti rakyat Malaysia, yang masih kuat berpegang kepada agama Islam. Mereka merupakan majoriti yang terbesar di kalangan umat Islam.
“Islam dilindungi Perlembagaan dan bidang kuasanya di negeri. Sepatutnya, dialog bukannya mengedar Bible.
“Mengapa agenda Dr Zakir Naik tak ditonjolkan? Sepatutnya, pihak Kristian terbuka dengan orang Islam untuk berdialog. Memang Islam menggalakkan kita berdialog.
“Kita ada Dr Zakir Naik dan lain-lain. Dr Zakir Naik dibendung, sepatutnya buat dialog terbukalah untuk mencari kebenaran, bukan mengedar Bible kepada mereka yang tak ada pengetahuan tentang agama,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas merasmikan bangunan Madrasah Darul Iman (MDI) di Kampung Titian Baru, Kedai Buloh, Bukit Payung, Marang, hari ini.
Sehubungan itu, kata Presiden PAS, umat Islam di negara ini sedar tentang hak kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Kita sedar walaupun ada kebebasan beragama. Kebebasan ada batas dia. Batas dia jangan menyentuh sensitiviti orang Islam. Macam kita juga…kita jaga diri tak menyentuh sensitiviti orang bukan Islam.
“Tetapi hubungan dilakukan secara terhormat iaitulah dialog dan berhujah dengan cara ilmu. Itu yang lebih penting dalam masyarakat majmuk,” jelasnya.
Menjawab pertanyaan media tentang langkah drastik bagi menangani isu pengedaran Bible itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, bidang kuasa agama ada pada negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan.
“Masing-masing negeri ada bidang kuasa agama. Kita harap negeri-negeri mesti mengikut undang-undang negeri masing-masing, yang sudah ada dalam Enakmen Pentadbiran Islam di negeri-negeri.
“Disamping pihak kerajaan Persekutuan juga ada bidang kuasa yang tertentu,” ujarnya selaku Ahli Parlimen Marang bagi meredakan keresahan umat Islam di negara ini.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.