KUALA NERUS – Kerajaan Malaysia digesa membantu mengembalikan keamanan di Syria yang berada di dalam kancah peperangan yang berlarutan sekian lama.
Ketua delegasi Iman Care, Dr. Suhazeli Abdullah berharap kerajaan yang baharu memerintah mengambil satu inisiatif politik untuk membantu menyelesaikan krisis yang berlaku.
“Walaupun mungkin agak kebelakang sikit dan insya Allah dengan adanya kerajaan baharu dalam negara kita dan di Terengganu kita sendiri, boleh memberi satu inisiatif dari sudut politik untuk membantu mereka mengembalikan semula keamanan di sana,” jelas Dr. Suhazeli.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada 20 Oktober bersama Delegasi Bantuan Kemanusiaan Pelarian Syria Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan(NGO).


Menurut doktor pakar keluarga itu, tahun ini adalah tahun yang keenam, bantuan misi kemanusiaan pada musim sejuk ke Syria yang melibatkan 14 NGO dan bantuan adalah dalam bentuk barangan, selimut, baju sejuk dan juga sedikit perubatan,
” Jadi biasanya musim sejuk mencecah sehingga kosong ‘degree’, sekarang ini baharu 16, 17 tapi apabila masuk bulan Disember dia akan masuk sampai ‘zero degree’ sehinggakan mereka berada dalam paras beku dan mereka tidak boleh bergerak jauh”, ujar beliau.
Justeru itu, katanya , pemanas amat diperlukan di khemah mereka disamping selimut dan baju yang tebal serta pemakanan.


Beliau berkata, lebih kurang RM370 000, berjaya dikumpulkan dan akan disampaikan kepada mereka.
“Kita bawa duit itu dan sebahagian telah kita hantar persediaan mereka bersama Cansuyu, NGO rakan kita yang berada di sana”, ceritanya lagi.
Selain itu tambahnya, mereka juga turut mengunjungi sekolah-sekolah anak yatim dan tahfiz.
” Sebelum ini kita sudah pergi buat lawatan dan mengikut keperluan kita akan sampai juga bantuan yang sama,” ujarnya.


“Ini bagi kita mengambil ‘angle’ atau penjuru-penjuru yang lain, insya Allah boleh membantu mereka pada masa akan datang”, katanya lagi.
Dan akhir sekali, jelas beliau, mereka akan bertemu dengan beberapa NGO yang berada di Turki yang juga melayani dan menyantuni pelarian-pelarian di Gaza.
“Gabungan daripada NGO kita, Iman Care dan NGO yang berada di Turki yang ada hubungan di Gaza, insya Allah kita membantu”, terang beliau.




























