LATAS Tunaikan Hasrat Nelayan

2129

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Kawasan Dungun yang sentiasa mengambil berat kebajikan antaranya para nelayan, telah berjaya menunaikan hasrat mereka di sekitar Batu Tiong untuk menyediakan sebuah wakaf.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Rantau Abang, YB Cikgu Alias Harun berkata hasil kerjasama LATAS, MTD dan PAS Cawangan Batu Tiong, wakaf yang sebelum ini musnah dalam kebakaran dapat diganti baru dengan penambahan kemudahan.

“Kita harapkan tempat ini dapat menyediakan tempat solat, untuk mempercepatkan solat kita, ini dapat dimanfaatkan semasa nak turun dan nak balik”, ujar Cikgu Alias.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang itu, menyampaikan ucapan ringkas di Majlis Gotong Royong membina wakaf nelayan di Jeti Nelayan Kampung Batu Tiong di sini pada 19 Oktober.

Memandangkan tambahnya, kawasan tersebut yang memiliki kecantikan semula jadi dan ianya boleh menarik kehadiran masyarakat untuk beriadah dan mengadakan aktiviti-aktiviti keluarga.

“Mungkin PAS cawangan akan rangka aktiviti-aktiviti lain,” katanya.

Sementara itu, ketua lajnah tersebut, Zakaria Tahir memberitahu projek yang dijangkakan kosnya lebih kurang RM3000 itu, telah lama dirancang iaitu sebelum pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

“Pada hari ini kita menjayakan projek yang kedua di Tapak Pengkalan Batu Tiong dan Alhamdulillah setakat hari ni kita dah dapat barang-barang yang kita perlu,” katanya.

Beliau juga berharap dapat menyedia dan menyiapkan tempat beristirehat nelayan-nelayan sebelum dan selepas pergi mencari rezeki di laut, disiapkan secepat mungkin.