Oleh ; Rohayati Ripin (AR)
KUALA NERUS –Tidak mustahil Parti Islam Semalaysia (PAS) menang pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson dengan saingan tiga penjuru diantara PKR dan bebas.
Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Terengganu Ustaz Haji Zakaria Dagang berkata, percaturan yang berlaku sekarang memungkinkan undi berpihak kepada pada PAS.
“Kita melihat bahawa pada awalnya pilihan raya tidak berlaku dalam keadaan segala perletakkan jawatan untuk buat pilihan raya untuk membolehkan seseorang menjadi ahli parlimen untuk memungkinkan dia menjadi perdana menteri.
“Memang pada peringkat awal kita (PAS) tidak bersetuju tapi (pada) satu peringkat walaupun saat akhir parti kita memutuskan (untuk) masuk pilihan raya memandangkan keperluan untuk kita bekerjasama sebab bila kita sebut pilihan raya supaya Pakatan Harapan (PH) tidak menang percuma,” jelasnya.


Katanya, PAS masuk bertanding dalam pilihanraya kecil di Port Dickson bukan sekadar untuk menang tetapi matlamat PAS adalah untuk menyampaikan dakwah kepada rakyat.
Tambah Ustaz Zakaria, PAS menyampaikan mesej dakwah dan mengajak masyarakat pengundi ketika berkempen.
“Suasana kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sekarang dengan isu yang berbagai-bagai dan masalah rakyat yang tidak selesai serta janji tak pernah ditepati sehingga sekarang.
“Mungkin benda itu semua memberi peluang untuk kita memberi saingan yang sengit pada PH,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, PAS diperingkat kawasan Kuala Nerus telah menghantar sepuluh orang petugas daripada satu kawasan yang akan bertugas bersama tiga kawasan lain bermula 9 Oktober sehingga hari mengundi.
Justeru itu, beliau berharap seluruh petugas parti bekerja keras bertungkus lumus membantu dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi.




























