Cakuh Sembilan Perlu Dikembalikan Kepada Penduduk.

2869

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN- Tanah-tanah yang telah diteroka dan diusahakan sekian lama di Cakuh Sembilan dalam Mukim Jerangau perlu dikembalikan kepada penduduk.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman berkata, adalah tidak adil kawasan yang kini menjadi petempatan tiga puluh rumah tidak diberi hak milik.

“Dikatakan pihak KETENGAH mula mendakwa tanah ini menjadi milik mereka sejak 2015, sedangkan tanah ini telah lama diusahakan penduduk,” ujarnya kepada wakil Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI).

Ghazali yang ditemui ketika meninjau sendiri kawasan berkenaan, selepas pertemuan dengan penduduk di situ pada khamis, 4 Oktober.

Beliau menyatakan ‘win- win situation’ adalah perlu supaya memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak di mana pihak KETENGAH perlu melepaskan sebahagian tanah kepada penduduk.

“Tanah seluas 200 ekar ini diharapkan mampu menjadi petempatan baru terutamanya generasi kedua”, ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Tanah Cakuh Sembilan, Ismail Mat Saman, berkata tanah tersebut telah mula diteroka pada tahun 1989.

“Pada mula menduduki kawasan ini hutan tebal, ditebang dengan usaha bersama mereka yang ingin membuka petempatan,

“dan pernah berhadapan dengan harimau, begitu susah membuka tanah di sini, dengan penuh jerit perih, bermandikan keringat,” ceritanya mengimbau kepayahan menerokai kawasan itu.

Menurutnya ramai diantaranya berputus asa kerana beranggapan tanah di situ tidak boleh menjadi hak milik.

“Sinar menjelang apabila PAS yang pernah menjadi kerajaan, telah berjanji akan memberikan geran tanah kepada penduduk di situ,

“belum sempat berbuat apa-apa, PAS telah kalah dan tanah di situ tidak berjaya dan telah didakwa penduduk di situ berada di atas tanah kerajaan,” tambahnya dengan nada kecewa.

Beliau seterusnya memberitahu, penduduk pada awalnya menanam dan mengusahakan pelbagai jenis buah-buahan.

“Tetapi memandangkan hasilnya tidak lumayan maka penduduk sepakat menanam kelapa sawit yang lebih menguntungkan”, jelasnya lagi.

Manakala Timbalan Keselamatan PAS Kawasan Kemaman, Azan Mohamad agak terkilan dengan sikap kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2015 telah mengeluarkan notis supaya peneroka meninggalkan kawasan berkenaan.

“Sedangkan semua penduduk diberi Lesen Pendudukan Sementara yang diperbaharui setiap tahun,

“adalah tidak adil, kerana pihak-pihak tertentu mempunyai kepentingan sanggup menghalau penduduk yang telah sekian lama berusaha dengan segala jerit perih untuk membuka petempatan di sini,

“kita sangat berterima kasih kerana Haji Ghazali sebagai penyelaras DUN sanggup datang, dan amat berterima kasih jika kawasan di sini dapat dibuka kepada semua generasi kedua termasuk masyarakat di Felda Jerangau bagi dijadikan petempatan baru,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sebelum ini kerajaan Barisan Nasional tidak mencaknai dan merasai denyut nadi penduduk dan belum pernah berbincang mengenai permasalahan berkenaan.