KUALA TERENGGANU – ‘Festival Peranakan Mek Dan Awang’ diharap menjadi ‘platform’ untuk terus memastikan kelestarian seni, budaya warisan masyarakat Cina.
Menteri Besar Negeri Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau berharap agar ianya terus terpelihara dan mampu menghidupkan kembali nostalgia lama.
Oleh itu katanya, ia sekali gus mampu membantu menjadikan Kampung Cina sebagai ‘A Unique Heritage Brand In A Tourism Hub’ dalam memperkenalkan Terengganu kepada pelancong luar.
“Kampung Cina merupakan contoh terbaik keberkesanan asimilasi kaum minoriti Cina yang masih teguh berpegang kepada tradisi, warisan dan adat resam nenek moyang,
“namun berjaya menerapkan keserasian keharmonian bermasyarakat bersama dengan majoriti masyarakat Melayu,
“Malah apa yang lebih menarik terhasil daripada proses asimilasi tersebut melahirkan identiti tersendiri yang unik dari segi kehidupan, adat resam dan cara hidup bermasyarakat,” katanya.
Ucapan beliau perasmian Majlis Perasmian festival Peranakan Terengganu, dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah, pada hari ini, Jumaat 17 Ogos.
Menurutnya, panggilan mesra ‘Mek dan Awang’ menggambarkan jalinan yang erat wujud melangkaui sempadan perbezaan kaum dan menggambarkan tahap kemesraan di dalam keluarga dan antara sahabat handai.
“Bagi komuniti Cina signifikan nama “Mek dan Awang” turut menggambarkan hubungan erat bukan sahaja sesama komuniti malah dengan masyarakat majoriti Melayu di sekeliling,
“Memandangkan keunikan nama ‘Mek dan Awang’ itu sendiri yang memberi pengertian identiti Negeri Terengganu,” jelasnya.
Oleh yang demikian, beliau memaklumkan, kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak penganjur dan mencadangkan nama Festival Peranakan Terengganu dijenamakan semula sebagai ”Festival Mek Awang Terengganu” bermula tahun hadapan.
Festival Terengganu Peranakan ini akan berlangsung selama enam (6) hari bermula 17 – 22 hb Ogos 2018 dan program tersebut yang diadakan buat kali kelima ini, dilihat semakin mendapat perhatian dan sambutan oleh masyarakat di negeri ini.










