Oleh : DMS
KUALA LUMPUR – Kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Malaysia yang mempersoalkan keputusan Mahkamah Syariah Terengganu terhadap hukuman ke atas pelaku lesbian pada 12 Ogos yang lalu adalah keterlaluan.
Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail adalah detik hitam bagi perundangan negara dan Islam khususnya.
“Saya mewakili seluruh rakyat Terengganu yang beragama Islam khususnya berdukacita dengan kenyataan SUHAKAM ini.
“Kami juga bersama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menuntut SUHAKAM menarik balik kenyataan ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sidang Media Ahli Parlimen PAS di Bangunan Parlimen, semalam Khamis, 16 Ogos.
Yang Di-Pertua PAS Kawasan Setiu itu menempelak kenyataan Tan Sri Razali yang merujuk hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah Terengganu.
“ia sesuatu memalukan keluarga dan martabat wanita adalah bertentangan dengan agama Islam yang sejak dahulu lagi meninggikan martabat kaum wanita.
“Kenyataan ini amat mendukacitakan kerana ianya keluar dari mulut seorang yang beragama Islam dan merupakan detik hitam bagi kedaulatan undang-umdang negara,” tambahnya.
Justeru, beliau berharap agar kerajaan pusat dan menteri yang bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu terhadap kenyataan SUHAKAM ini bagi kepentingan agama Islam dan penganutnya.
Terdahulu, pada Ahad 2 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah menjatuhkan hukuman 6 sebatan dan denda RM3,300 ke atas sepasang wanita kerana cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta, di Dungun.
Kejadian berlaku pada bulan April yang lalu.










