Hantu Bonceng : DPPM ke FINAS

1926

Dewan Pemuda PAS Malaysia [DPPM] hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia [FINAS] berkaitan Isu Filem Mempersenda Islam [Filem Hantu Bonceng].

Filem tersebut adalah berkenaan dengan salah satu babak yang seakan-akan mempersendakan lafaz syahadah yang menjadi asas kepada agama Islam. Menurut Ustaz Nasrudin juga bukan hanya filem ini [Hantu Bonceng] bahkan belakangan ini terdapat banyak filem-filem yang berunsur tahyul, seram yang menjadi sajian kepada pertumbuhan masyarakat Malaysia.

Beliau juga berkata, “Kita tidak menafikan bahawa filem mempunyai potensi besar dalam membantu pertumbuhan masyarakat kita. Justeru, DPPM mahu agar filem-filem atau drama-drama yang ditayangkan kepada penonton adalah cerita yang dapat membina pemikiran dan menjana pertumbuhan masyarakat yang positif dan DPPM sedia membantu demi memastikan perfileman di dalam negara kita lebih maju dan terkehadapan sambil tidak melanggari batasan-batasan Islam.”

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak FINAS kerana mengalu-alukan kehadiran daripada DPPM. Beliau juga berkata kepada Tuan Haji Abdul Khalid Maulod. Rombongan DPPM ke FINAS ini telah diketuai oleh Ketua Pemuda DPPM Ustaz Nasrudin Hassan dan juga Penolong Setiausaha 2, Ustaz Syed Abdul Kadir. Memorandum DPPM ini diserahkan kepada Tuan Haji Abdul Khalid Maulod selaku Pengarah Pemasaran dan Promosi FINAS sambil ditemani oleh saudara Ahmad Syazli Muhd Khiar selaku Penolong Pengarah Komunikasi Korporat.

Apabila ditanya mengenai sanggahan-sanggahan golongan tertentu yang mengatakan ucapan tersebut tidak menyalahi dari sudut syahadah kerana ianya tidak dilafazkan dalam satu perkataan. Beliau menjawab, “Kita bukan menyalahkan pelakon tersebut [Zizan], tetapi kita menyalahkan bahagian penapisan filem kerana mengeluarkan sesuatu ucapan yang berunsur fitnah untuk ditayangkan kepada masyarakat awam. Bahkan DPPM mengucap tahniah kepada Zizan kerana beliau berani memohon maaf di atas kesilapannya. DPPM juga berharap perkara ini menjadi contoh kepada artis lain.

***Kenyataan media DPPM. Sebelumnya DPPM ke JAKIM. Ikuti Memo yang dihantar oleh DPPM sebagaimana dibawah:

______________________________________________________________________________________________

PAS/DPPP/2.08(30/11)                                                          23 Syawal 1432 /21 September 2011

Kepada;

TUAN HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
Ketua Pengarah
Jabatan  Kemajuan  Islam  Malaysia (JAKIM)
Aras 4-9 Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62519, W.P Putrajaya, Malaysia

Ybhg Tuan;

MEMORANDUM BANTAHAN FILEM MEMPERSENDA ISLAM (FILEM HANTU BONCENG)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sangat kesal dengan kelemahan ketara yang berlaku dalam Lembaga Penapisan Filem [LPF] di bawah Kementerian Dalam Negeri [KDN] dan juga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional [FINAS] di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan [KPKK] sehingga membenarkan filem-filem yang berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan untuk tontotan umum.

DPPM juga melihat Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung Dengan Unsur-unsur Yang Bercanggah Dengan Aqidah dan Amalan Ahli Sunnah Waljamaah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak diendahkan langsung.

Filem terbaru yang mengandungi unsur menghina Islam adalah “Hantu Bonceng” yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri dengan lakonan oleh Mohd Razizan Abd Razak [Zizan RL]. Salah satu babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut “Asyhadu anna Muhammadar Syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan”.

Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan. Sementelah pula filem yang menjadi tontonan umum ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran yang salah masyarakat terhadap Islam. Lebih berisiko apabila kelak ia turut merosakkan aqidah masyarakat awam.

Allah Ta’ala berfirman di dalam Surah At-taubah, Ayat 65:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ
Yang bermaksud; Dan jika engkau bertanya kepada mereka, tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

Samaada perbuatan tersebut dibuat dengan sengaja ataupun tidak, namun sensitiviti ummah yang cintakan Islam terus dicabar. Janganlah sehingga azab Allah diturunkan ke atas mereka yang mempermainkan Nabi-Nya barulah pihak JAKIM mahupun FINAS ingin bertindak. Takutlah ancaman Allah di dalam Surah Al-An’am, ayat 10:
وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ
Yang bermaksud; Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.

Malah, filem tersebut memaparkan berulang kali perkara khurafat dan tahyul (seperti berbogel untuk menyebabkan hantu lari dan sebagainya). Terdapat juga babak yang menunjukkan kurangnya sensitif kepada perkara yang mungkin menimbulkan fitnah seperti babak tinggal bersama bukan mahram di sebuah rumah, serta pakaian yang seolah-olah mempunyai lambang salib (kemeja-t bertulisan “Death Note”  oleh Zizan memasuki surau).

Dewan Pemuda PAS turut mempersoalkan, sekiranya benar wujud panel penapisan di dalam LPF ataupun diperingkat FINAS sendiri mengenai filem-filem yang bakal ditayangkan untuk tontonan umum mengapa masih wujud babak yang menimbulkan kontroversi ini, sehingga masih banyak adegan yang  “menyenakkan mata” dan mengganggu sensitiviti masyarakat,  lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan?

Lebih malang, pihak berkuasa agama seperti kaku dan kelu tidak tahu berbuat apa -apa meskipun berdepan dengan isu penghinaan terhadap Islam. Apalah erti dan makna pihak berkuasa agama ? Sebelum ini, JAKIM seperti tiada kuasa dan tiada apa yang boleh dilakukan malah untuk menerima memorandum pun tidak berkeupayaan apabila tercetus isu penghinaan terhadap Islam dan syariatnya oleh Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara.

Lambakan filem tahyul dan karut menerusi tontonan umum di kaca televisyen samaada melalui saluran RTM ataupun saluran swasta seperti Astro terus  bermaharajalela tanpa sebarang tindakan berkesan oleh pihak berkuasa agama. Sejak tahun lalu, sebanyak 22 filem bergenre seram yang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, berunsurkan khurafat dan tahyul.

Kerajaan juga selayaknya serius melihat perkara ini. Jangan biarkan filem menjadi medium untuk menghina, mempersenda dan memperkecilkan Islam di dalam negara ini. Sebelum ini, peka benar kerajaan terhadap isu Kalimah Allah, Isu Gereja dan isu komunis yang tidak wujud. Kenapa dalam perkara ini pihak kerajaan dan jabatan Agama kelihatan seperti “mati pucuk” ? Pihak berkuasa agama dilihat tidak tahu dan tidak berupaya bertindak selayaknya.

Dewan Pemuda PAS sangat khuatir sekiranya tidak ada satu garis pandu jelas yang berlandaskan Syariat Islam yang wajib menjadi rujukan kepada LPF dan FINAS, filem-filem yang lebih “luar biasa” akan dihasilkan dan mungkin diluluskan kerana keuntungan yang bakal diperolehi oleh pihak-pihak tertentu tanpa menimbang tara impak yang akan berlaku. Bukan sahaja kepada filem tempatan yang semakin hari semakin memperlihatkan kepada umum bagaimana hilangnya nilai seni, moral, adab serta adat ketimuran tetapi juga kepada filem luar [asing] yang mengundang kepada keruntuhan moral, akhlak, pemikiran dan budaya masyarakat kita.

Justeru, Dewan Pemuda PAS meminta pihak FINAS mahupun LPF untuk mewujudkan panel syariah yang berauthoriti sebagai lembaga penapisan yang tertinggi terutama dalam menapis cerita atau filem yang mempunyai kaitan dengan agama Islam. Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada mereka yang terlibat secara lansung di dalam industri ini  seperti penerbit, pelakon dan penyiar untuk merujuk kepada alim ulamak seperti mufti atau pihak berkuasa Agama seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia [JAKIM] terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem. Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulamak untuk melepaskan diri.

DPPM juga meminta JAKIM supaya bertindak lebih tegas terhadap mana-mana penerbitan filem mahupun drama yang bercanggah dengan Syariat Islam dan garis panduan yang telah dikeluarkan. Apalah gunanya garis panduan setebal 44 muka surat jika tiada tindakan atau penguatkuasaan yang dilakukan.

Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada para artis untuk meneliti dan membuat kajian terlebih dahulu mengenai skrip yang bakal dilakonkan oleh mereka. Sekiranya skrip tersebut mengandungi unsur-unsur yang dirasakan bertentangan dengan fitrah dan juga berpotensi untuk mencemarkan kemuliaan Islam maka bertanyalah kepada para ulamak . Perkara ini juga mesti dilakukan oleh pihak penerbit, pengarah mahupun pelakon agar tidak mewujudkan suasana kontroversi seperti ini.

Sudah sampai masanya, pengarah dan penerbit filem negara menghasilkan filem bermutu tinggi, mendidik minda dan sosio budaya masyarakat serta mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa. Bebaskan industri filem negara dari serkap filem yang rendah mutu, terkepong dalam realiti masyarakat yang tidak sepatutnya dibanggakan dan filem yang mengeksploit batang tubuh wanita, keseksian, kelucahan dan ketahyulan sebagai azimat pelaris tayangan di pawagam.

Dewan Pemuda PAS mengingatkan demikian justeru berkarya juga berkait rapat dengan dosa pahala dan syurga neraka. Karya juga sebahagian dari medium pendidikan umum masyarakat yang berkesan kepada masyarakat. Maksudnya, berkarya dalam pelbagai lapangannya mestilah mengambil kira keredhaan Allah swt, bukan hanya menilai keuntungan dan sambutan bertaraf pecah gudang.

Dewan Pemuda PAS sedia membantu untuk mengangkat martabat industri filem negara dalam ruang yang boleh diambil oleh pemuda selama industri ini sedia untuk bebas dan dibebaskan dari pengaruh maksiat dan mungkar.

Semoga industri filem negara terus maju dan berkembang ke serata dunia dengan membawa imej negara yang baik dan gemilang tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak semata – mata untuk dijadikan tangkal pelaris filem di bioskop antarabangsa.
Sekian desakan dan tuntutan kami;

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.