Beransur-ansur…..Rakyat Akan Memahami

2053
Menerima kunjungan ....Terima kasih Kekanda YB Dr Izani Husin, Exco Kerajaan Negeri Kelantan atas kunjungan yang sangat bermakna ke Wisma Darul Iman. Banyak perkara yang dibincangkan dan boleh dikongsi antara dua negeri berjiran ini.

InsyaAllah selepas proses perlantikan J3K disahkan, urusan tandatangan dokumen dan pengesahan dokumen akan jadi lebih mudah dan cepat. Urusan ini sekarang disempurnakan oleh Adun atau Penggawa.

Memang kita akui, ianya sikit menyukarkan kerana ambe bukannya sepanjang hari berada di Pejabat Khidmat Adun. Tanggungjawab Exco memerlukan kita bergerak ke seluruh negeri.

Walaupun begitu, dalam tempoh 2 bulan ini, hampir setiap hari ambe ada dalam Dun. Hanya 2 hari sahaja ambe outstation. Sekali ketika menghadiri Mesyuarat PAS Pusat di KL dan sehari ketika hadir Majlis Iftor Perantau Anak Terengganu di Bangi.

Itu pun kita terus balik sebaik sahaja program habis walaupun kemudahan hotel disediakan dan kita layak duduk di situ. Ambe fikir rakyat perlukan kita walaupun kita boleh tidur lena di hotel tanpa gangguan. Ada juga niat nak cuti sehari dua dengan anak-anak, tapi dibatalkan saja.

Semaksimun mungkin kita usaha untuk berada dalam kawasan. Tapi tentunya kehendak rakyat yang nak jumpa pada bila-bila masa saja tak mampu kita penuhi. Ambe terima dengan lapang dada bila dibanding YB dulu selalu ada di rumah dan mudah ditemui. YB baru susah sikit.

Tambahan pula dah agak lama PAS tak menang di Jabi. Demand rakyat agak tinggi sikit. Kita hadapi dengan jiwa besar.

Dalam sejarah penubuhan Dun Jabi dari 80 an, samada dari PAS atau BN, inilah kali pertama Wakil Jabi diamanahkan kerusi Exco. Berpuluh tahun mereka biasa dengan wakil rakyat yang selalu ada dalam kawasan. Sangat jauh beza tugas seorang Adun berbanding seorang Adun yang memikul tugas Exco.

Walaupun begitu, ambe kerja 7 hari seminggu tanpa cuti. Pejabat Khidmat Adun bukan setakat buka waktu pejabat, malah Pegawai Khidmat kita bekerja sampai tengah malam. Boleh oncall lagi. Mereka sedia membantu dalam pelbagai urusan dan khidmat.

Pengurusan dan pentadbiran Dun bukan hanya dipikul wakil rakyat seorang. InsyaAllah dalam masa terdekat, kita akan tambah seramai 12 orang lagi kakitangan Pejabat Adun dengan pelbagai bidang tugas tambahan kepada 2 orang yang sedia ada. Kita yakin ia akan mampu melicinkan lagi urusan rakyat.

Kerja wakil rakyat bukan hanya tunggu di pejabat untuk terima aduan rakyat dan tandatangan dokumen. Kita ke sana ke mari menyelesaikan pelbagai urusan demi Rakyat Jabi. Wakil rakyat yang baik, bukanlah wakil rakyat yang kita boleh jumpa setiap hari tetapi yang mampu menguruskan urusan rakyat dengan baik.

Kerusi Exco sebenarnya memberi sangat banyak ‘advantage’ kepada rakyat Jabi walaupun kena korban sikit untuk bahagi masa wakil rakyat kita dengan rakyat lain seluruh negeri. Jalan Jebak Puyoh contohnya kita uruskan menggunakan peruntukan di Pembangunan Pertanian UPEN.

Ambe bukan milik Jabi sahaja. Secara beransur-ansur kita yakin rakyat Jabi akan memahami.

Dr Azman Ibrahim