KUALA TERENGGANU – Seramai 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu yang menang pada PRU14 mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini.
Majlis angkat sumpah itu didahului Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diikuti barisan Exco Kerajaan Negeri, ADUN PAS dan disusuli 10 wakil rakyat pembangkang.
Kesemua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dun Terengganu yang baharu, Yahaya Ali.


Pada PRU14 lalu, PAS mencipta kejutan apabila mengulangi sejarah pada 1999 dengan kejayaan menewaskan BN dan membentuk kerajaan baharu di Terengganu.
PAS mendapat 22 kerusi Dun dengan mempertahankan 15 kerusi dimenangi pada PRU13 dan berjaya merampas tujuh kerusi baharu iaitu Dun Bandar, Jabi, Kota Putera, Kuala Berang, Kemasik, Air Puteh dan Pengkalan Berangan.
BN gagal mempertahankan kedudukan sebagai kerajaan di Terengganu apabila hanya menang 10 kerusi Dun dan dua kerusi Parlimen. – SH





























