Menuju Terengganu Yang Lebih Baik

3296

SETIU – Menteri Besar Negeri Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh jentera dan rakyat memberi kerjasama kepada kerajaan dalam melihat pembangunan dan kemajuan negeri yang lebih baik.

Katanya, apa yang telah lepas biarkan berlalu dan kerajaan baharu akan membaik pulih dan meningkatkan kesejahteraan penduduk kepada suatu tahap yang lebih cemerlang.

“Kita faham Negeri Terengganu ini banyak dikurniakan Allah komoditi dan sumber asli yang banyak dan sekiranya kita dapat manfaatkan,

“dengan kerajaan dan rakyat (bekerjasama) insya Allah kita mampu menjadi Negeri Terengganu lebih baik daripada keadaan yang ada sekarang ini,” tegasnya.

kasih sayang…. Menteri Besar bersama isteri, pasangan ideal rakyat Terengganu

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Sambutan Hari Raya Perdana Peringkat Daerah Setiu di Dewan Serbaguna Sungai Tarom pada hari ini Isnin, 25 Jun.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Setiu Rosli Awang, Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu Zulkafeli Omar, Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur YB Wan Mohd Hasnan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Blue Archipelago Berhad Che Wan Nadri Wan Fauzi.

Turut sama dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Setiu Ustaz Saharizukirnain Abdul Kadir dan Penyelaras DUN Permaisuri Zulbahri Abd Rahman serta Penyelaras DUN Langkap Azmi Maarof.

Beliau mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Petronas secara khususnya yang telah mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu program kemasyarakatan bukan sahaja di daerah Setiu bahan di Negeri Terengganu.

“Kerjasama ini yang kita perlukan wujud antara kerajaan dengan agensi dan syarikat-syarikat yang beroperasi di Negeri Terengganu,

“kalau ada lagi (dari petronas) kita harap banyak lagilah (program kebajikan dan kemasyarakatan),” ujar beliau.