Terengganu, Malaysia

Campurtangan tentera akan membawa padah

Campurtangan tentera akan membawa padahPresiden Syria, Encik Bashar al-Assad, berkata beliau ‘tidak bimbang’ dengan suasana keselamatan di negaranya dan memberi amaran terhadap sebarang campur tangan ketenteraan asing, dalam satu ucapannya yang dibuat khas untuk menunjukkan keyakinannya sedang rejim itu menghadapi kutukan hebat daripada masyarakat antarabangsa kerana tindakan kerasnya terhadap para pembantah di negara itu.

Ulasan beliau itu, yang disampaikan menerusi satu wawancara dengan stesen televisyen negaranya lewat kelmarin, dibuat selang beberapa hari selepas Amerika Syarikat dan sekutusekutunya di Eropah menggesa beliau agar meletakkan jawatan, dan selang beberapa jam selepas seorang diplomat berkata Encik Bashar sedang ‘membersihkan darah di jalan-jalan raya’ menjelang lawatan para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

‘Saya tidak bimbang mengenai suasana keselamatan ketika ini, kami boleh menyatakan suasana keselamatan adalah lebih baik,’ kata Encik Bashar, yang muncul buat kali keempatnya di televisyen selepas pemberontakan terhadap pemerintahan keluarganya selama 40 tahun tercetus pada pertengahan Mac lalu.

‘Ia mungkin kelihatan berbahaya, tetapi hakikatnya kami berupaya menanganinya,’ kata beliau.

Encik Bashar selanjutnya menjanjikan beberapa pembaharuan – termasuk pilihan raya parlimen menjelang Februari depan – tetapi mendesak bahawa pergolakan yang berlaku dalam negaranya didorong konspirasi asing dan bukannya oleh para pencari pembaharuan yang tulen.

Beliau berkata gesaan Presiden Barack Obama agar beliau meletak jawatan ‘tidak mempunyai nilai’.

Pihak pembangkang menolak ulasan Encik Bashar itu sambil berkata mereka telah hilang kepercayaan terhadap janji-janji pembaharuannya, manakala tentera beliau menembak ke arah para pemberontak yang membuat bantahan secara aman.

Kumpulan hak asasi berkata lebih 2,000 orang terbunuh dalam tindakan keras yang dijalankan pemerintah Syria ke atas para pembantah.

Rejim tersebut telah mengerahkan kereta kebal, penembak hendap dan kumpulan bersenjata prorejim tersebut dalam usahanya menghalang pemberontakan.

Encik Bashar juga memberi amaran terhadap campur tangan ala Libya, sambil berkata ‘sebarang tindakan tentera terhadap Syria akan membawa padah yang tidak boleh ditangani (pihak Barat)’.

Ketika ini belum ada rancangan antarabangsa untuk melancarkan operasi sedemikian, sebahagiannya kerana pihak pembangkang berkata ia tidak mahu campur tangan negaranegara Barat. — AP.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan