Terima Keputusan Rakyat

1319

Oleh KAM

MARANG – Rakyat umumnya termasuk parti-parti politik kerajaan atau pembangkang diingatkan agar menerima keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, ini sama ada menang atau kalah.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti mengarahkan pengikut-pengikut PAS agar bertenang, beradap dalam kempen.

Justeru, kata beliau, PAS melaksanakan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan pertembungan yang tajam dalam masyarakat.

“Kita mengarahkan pengikut-pengikut PAS supaya bertenang, beradap dalam kempen. Melaksanakan budaya politik matang sejahtera dan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

 

“Ini pendekatan yang baik dan kita (PAS) elakkan daripada pertembungan yang tajam, boleh berbeza pendapat tetapi tidak boleh bergaduh.

“Ini yang perlu kita (PAS) kemukakan kepada masyarakat. Sama ada menang atau kalah, kita terima hakikat. Rakyat buat keputusan…terima, jangan kita buat sesuatu yang menyusahkan rakyat dan negara,” ujarnya selepas mengundi di Pusat Mengundi, Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang, semalam.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Abdul Hadi, berpuas hati dengan perjalanan kempen pilihan raya kali ini yang berjalan lancar, aman dan tenteram.

Turut mengundi di Pusat Mengundi yang sama ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga calon PAS, N16 Batu Buruk, pada PRU14 ini.

Sementara itu, pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Terengganu menyediakan 401 Pusat Mengundi yang mempunyai 1,433 Tempat Mengundi (saluran).

Seramai 736,632 orang pemilih berdaftar di negeri Terengganu layak mengundi bagi memilih kerajaan baharu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Manakala, tujuh buah Pusat Mengundi akan tutup awal pada jam 3.00 petang iaitu SK Pulau Perhentian, SK Pulau Redang, SK Kuala Jenderis, SK Tepus, SK Kampung Shukor, SK Jongok Batu dan SK Sungai Pergam.