Calon-Calon PAS Yang Ku Kenali – Parlimen Dungun

3263

Oleh : MNA

Saya secara peribadi menyediakan penilaian calon-calon PAS untuk PRU 14 ini sebagai gambaran kepada kejayaan mahupun sisi lain mereka kepada rakyat Terengganu untuk sama-sama kita mendekati mereka. Sebagai seorang pengamal media, saya berpeluang menemui, berkawan ataupun berkerja bersama-sama mereka didalam jemaah PAS. Saya sentiasa mengikuti perkembangan sebahagian besar calon-calon PAS terutama yang melibatkan isu Sidang Dun. Ada yang saya kenali dengan mendalam, ada juga melalui program-program bersama. Lebih daripada itu, saya berpeluang membuat liputan terhadap mereka secara dekat, bagi mengupas pelbagai isu-isu semasa di Terengganu. Melalui pengalaman ini, saya kongsikan dengan anda watak-watak calon-calon PAS kali ini di hadapan dan di balik tabir.

P039 Dungun : Ustaz Wan Hassan Wan Ramli

Seorang yang sempoi. Paling banyak tersenyum, senang didekati, sentiasa bertanya khabar. Paling mudah bersedekah. Prinsip yang beliau amalkan amat mudah. Sediakan wang kecil RM5 banyak-banyak. Jika ada orang meminta wang daripada beliau, maka beliau akan hulurkan. Semestinya orang ramai tidak boleh mengharapkan ratusan atau ribuan ringgit daripada beliau, tetapi sebagai mengikut jalan sunnah, beliau tidak akan menghampakan orang, dengan sedikit wang dihulurkan. Jika sudah kehabisan wang, beliau akan memberitahu yang beliau sudah kehabisan wang, mudah tanpa hipokrit.

Pernah diceritakan beliau disimbah dengan air buangan ikan oleh pembencinya. Dia hanya tersenyum dan tidak membalas. Saya masih ingat kisah pada waktu kempen PRU 1999 dahulu, di sebuah rumah milik orang Umno, ada kematian. Tetapi malang bagi orang Umno itu kerana rakan-rakannya meminggir mungkin kerana tidak tahu berbuat apa-apa. Ustaz Wan Hassan antara orang yang menguruskan jenazah itu, menyebabkan orang Umno itu menjadi sungguh terharu. Ustaz Wan Hassan seorang yang disenangi semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Pengalaman beliau menjadi Exco Belia, Sukan dan Pelancongan pada sesi 1999-2004 dahulu, insyaAllah akan dapat membantu pentadbiran kerajaan teknokrat PAS nanti.

N25 Bukit Besi : Haji Ghazali Sulaiman

 

Saya tidak sempat bersama beliau ketika meninjau kerosakan yang dilakukan oleh pelombong bijih besi di Bukit Besi. Selain daripada isu itu, isu pembalakan haram juga diketengahkan beliau bagi menyelamatkan hutan simpan di sekitar Bukit Besi agar terpelihara daripada tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Kerap kali ketika banjir melanda Bukit Besi, banyak kampung-kampung yang tidak berjaya dihubungi kerana terputus hubungan. Namun beliau dan pasukannya berjaya sampai bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan. Pastinya hanya orang yang bersemangat waja sahaja yang sanggup bergadai nyawa bagi menghulurkan bantuan sebegitu. Walaupun bukan Adun, beliau tetap memberikan khidmat kepada rakyat. Dengan peruntukan yang sedikit, beliau berjaya mengatur program-program terutamanya kebajikan bagi rakyat Bukit Besi. Bayangkanlah jika PAS memerintah, pasti lebih lagi agihan kepada rakyat yang memerlukan.

N26 Rantau Abang : Haji Alias Harun

Mantan guru besar yang ditugaskan pada penggal lalu untuk mengambil cakna hal-hal berkaitan kebajikan di Dun selain daripada isu-isu setempat yang lain berlaku di sekitar Dun Rantau Abang. Kami bersama membawakan isu berkaitan dengan perlombongan silika yang kelihatannya tidak membawa keuntungan kepada Terengganu di Bukit Senyamuk, berhampiran Kuala Abang kerana masalah pengurusan. Tidak ketinggalan juga isu Ladang Kambing Kaprima yang gagal, serta kawasan rekreasi dekat kawasan rehat Rantau Abang yang rosak kerana tidak dijaga. Isu janji palsu Veledrom Rakyat yang tertangguh pembinaannya semenjak diletakkan batu asas sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2008 dan baru-baru ini kerana mahu memancing undi, juga diketengahkan beliau.

Banyak kali di dalam Sidang Dun, kebimbangan beliau terhadap masalah banjir yang berlaku di sekitar Taman Rakyat, Gong Pasir dan janji pembinaan tebatan banjir yang tinggal janji, turut diluahkan beliau. Kesungguhan beliau walaupun sudah agak berumur kesana kemari untuk membantu rakyat, saya yakin, tidak akan luntur. Beliau saya percaya, akan dapat membantu kerajaan teknokrat PAS dalam bidang pendidikan atas dasar disiplin yang beliau miliki sehingga banyak kali dipuji Speaker Dun kerana sikapnya yang berhemah ketika Dun bersidang.

N27 Sura : Wan Hapandi Wan Nik

Bekas guru juga sahabat baik Adun Rantau Abang ini seorang yang sangat lemah lembut dari segi percakapan dan juga tingkah laku. Sering turun padang bagi mendekatkan diri serta mendalami masalah masyarakat setempat. Banyak isu yang berkaitan dengan Dungun, diketengahkan beliau sewaktu mengambil tempat dalam perbahasan di Sidang Dun Terengganu. Beliau kurang diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam sidang Dun kerana beliau Adun baharu. Ini adalah amalan peraturan dewan, mana-mana Adun baharu, maka mereka akan ditempatkan di bahagian belakang dan kebiasaannya soalan mereka tidak atau lambat sampai kerana kekangan masa sesi soal jawab. Namun begitu apabila mendapat peluang, antara permasalahan yang beliau ajukan ialah berkenaan hakisan pantai di Teluk Lipat, muara Kuala Dungun yang cetek, masalah sosial setempat dan lain-lain lagi.

N28 Paka : Ustaz Satiful Bahari Mamat

Bekas tenaga pelajar di Institut Latihan Perindustrian Petronas (ILPP) yang sekarang dikenali sebagai Instep. Juga menjadi nabiq usrah saya di sana ketika belajar dan juga ketika saya berkerja di Paka. Seorang yang padat dengan idea, mudah dibawa berbincang selain daripada senang didekati. Menang di Dun Paka buat kali pertama pada tahun 1999-2004 dan dilantik menjadi Timbalan Exco Belia dan Sukan. Setelah kalah, beliau menimba ilmu di Afrika Selatan, bersama anak buah Ahmed Deedat. Kembali ke Paka dengan keazaman dan kekuatan baharu untuk kembali merampas Dun Paka dan dia berjaya pada penggal lepas.

Ketika ini memegang tanggungjawab sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Terengganu dan dilantik menjadi Ketua Pembangkang Dun. Sering mengambil bahagian di dalam perbahasan Dun dan amat lantang dalam mendedahkan kepincangan yang dilakukan Umno serta pandai mencari maklumat-maklumat sesuatu isu. Menjaga hal ehwal berkenaan industri, sering mengenengahkan kerisauan rakyat tentang peluang pekerjaan yang semakin hilang terutama di Paka dan Kertih kerana masalah kekurangan pelabur yang datang serta ketidak tegasan kerajaan menghadkan kemasukan pekerja luar Terengganu untuk bekerja di Terengganu.

Pernah idea beliau berkenaan cadangan kepada kerajaan untuk mengenakan syarat kepada pelabur yang ingin melabur di Terengganu, ditetapkan mengambil peratusan tinggi anak tempatan sebagai pekerja, diterima kerajaan. Disamping itu juga, beliau mendapat sokongan padu daripada ahli perniagaan yang berjaya, profesional-profesional yang tinggal berdekatan dengan beliau dalam usaha beliau membantu rakyat. Hasilnya, beliau berjaya mengadakan projek membina rumah percuma kepada beberapa rakyat Paka yang layak dan mengadakan program kebajikan yang lain secara berkala.

Ustaz Satiful juga mempunyai dua buah sekolah agama, menengah dan rendah yang sudah kira-kira 20 tahun beroperasi dan mendapat kerjasama universiti luar bagi menghantar pelajar-pelajarnya ke luar negara. Beliau sememangnya diperlukan bagi membentuk kerajaan teknokrat diatas idea-idea beliau yang banyak untuk dilaksanakan. Adalah suatu kerugian bagi rakyat Paka jika tidak memasukkan Ustaz Satiful sebagai salah seorang daripada senarai Adun yang menang pada PRU nanti.