Beri Kebebasan Mengundi

2035

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU – PAS menyambut baik dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Dato’ Seri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini, yang berjanji akan memberi kebebasan pilihan mengundi kepada semua anggotanya.

Calon PAS bagi Parlimen PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim turut, merakamkan ucapan terima kasih dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) itu.

Katanya, adalah wajar bagi seluruh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam dari pasukan keselamatan Polis dan Tentera diberi kebebasan memilih wakil rakyat.

“Saya (calon) ucap terima kasih dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) bahawa Polis diberi kebebasan untuk mengundi. Jadi itu satu isyarat yang sangat baik,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Mengundi, Dewan Budaya, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Terengganu, semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap agar terbuka sedikit ruang kebebasan memilih di kalangan anggota keselamatan terbabit pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, ini.

Menurut beliau, tidak mempunyai masalah dengan anggota keselamatan kerana telah lama berurusan dengan pihak berkenaan.

“Saya sempat jumpa dengan ramai anggota Polis di sini (pusat pengundian) yang sebenarnya tidak asing kepada saya. Sebab, saya sejak zaman bekerja lagi selalu berurusan dengan pihak Polis.

“Kebanyakkan mereka ini kawan-kawan saya dan saya rasa tidak ada masalah. Saya harap sedikit sebanyak (mereka) akan memberi undi bagi memenangkan PAS,” ujarnya.

Ahmad Amzad tiba di pusat pengundian itu seawal jam 9.15 pagi selepas satu program Ustaz Azhar Idrus Minum Pagi Bersama Calon Parlimen Kuala Terengganu, di Hadapan Surau Ladang, Kuala Terengganu.