PAS Tidak Puas Hati Dengan Usul Persempadanan Semula

3260

KUALA TERENGGANU – PAS tidak berpuas hati dengan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang di luluskan di Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, terdapat beberapa perkara yang tidak memuaskan dalam laporan itu yang disifatkan tidak konsisten dan tidak tepat selaras dengan perubahan penduduk.

“Ada beberapa perkara yang tidak memuaskan dalam persempadanan semula ini, saya beberapa kali sebut dalam parlimen di mana perlunya tambah kawasan di Terengganu, Kelantan, Kedah utara dan Perak.

“Di Kuala Terengganu pengundinya ada 90,000 lebih, di Kota Bharu, Tumpat ada 100,000 manakala di Baling juga hampir 100,000.

”Setakat ini, di Johor satu kawasan Parlimen 40,000, ini merupakan satu persempadanan yang tidak memuaskan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Dialog Rakyat yang diadakan di sebuah Hotel di sini, semalam.

Namun begitu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, ia tidak memberi kesan yang banyak terhadap PAS kerana parti itu yakin dengan kekuatan pengundinya, terutama kebangkitan di kalangan pemilih muda.

“Persempadanan  semula tak menjejaskan Pas sebab kita mempunyai kekuatan pengundi sejak awal dan kita melihat kepada perubahan pada pengundi-pengundi muda.

“Hasil gerakan dilakukan kita dapati sebanyak 30 peratus pengundi terdiri dalam kalangan pengundi baru dan ia adalah petunjuk yang amat positif.

“Malahan, kita yakin perubahan pengundi muda ini akan memberi impak seperti gelombang 1999, tak mustahil gelombang itu boleh berlaku,” tegasnya.

Walau pun PAS menerima perubahan yang dilakukan namun katanya, ia tidak konsisten dan tepat dengan perubahan penduduk.

“Cuma ruginya ialah kerusi parlimen yang mana patut ada pertambahan empat hingga enam kerusi lagi.

”Di Terengganu pun tiada pertambahan kerusi. Namun, kita yakin kita mampu tangani dengan sokongan yang kita ada,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat, Dr Alias Razak dan Haji Yahaya Ali.