KAHIRAH: Hakim yang akan membicarakan kes Encik Hosni Mubarak semalam berkata pihak mahkamah akan mendengar kes mantan presiden Mesir itu pada 15 Ogos ini.
Hakim Ahmed Refaat juga berkata pemimpin yang digulingkan dalam satu pemberontakan rakyatnya itu akan dipindahkan dari sebuah hospital di kawasan berdekatan dengan Laut Merah ke sebuah hospital di Kahirah bagi tujuan perbicaraan tersebut.
Beliau turut mengarahkan agar Encik Mubarak dan mereka yang terbabit bersamanya menghadiri sesi akan datang itu.
‘Mahkamah telah memutuskan akan memulakan kes itu pada 15 Ogos ini,’ kata Hakim Refaat.
Beliau menambah bahawa Encik Mubarak akan ditahan di sebuah hospital di pinggir bandar Kahirah di mana beliau boleh mendapat rawatan perubatan penuh, berbanding dengan hospital yang merawatnya sekarang di Sharm el-Sheikh.
Secara berasingan, hakim itu juga berkata mahkamah akan memulakan perbicaraan kes bekas menteri dalam negeri Mesir, Encik Habib al-Adli, pada hari ini.
Encik Mubarak, 83 tahun, yang terlantar di sebuah hospital dekat Laut Merah dan dikawal rapi oleh dua anak lelakinya, mengaku tidak bersalah atas dakwaan rasuah dan bersubahat dalam pembunuhan para pembantah pada Februari lalu, pada permulaan sesi perbicaraannya yang bersejarah itu semalam.
Gambaran seorang pemimpin kuku besi yang pernah memimpin Mesir selama 29 tahun dalam keadaan tidak berdaya itu – yang disiarkan menerusi kaca televisyen ke seluruh negara itu – amat memuaskan hati rakyat Mesir.
Selepas melalui keraguan meluas bahawa tentera Mesir akan membenarkannya, senario itu memenuhi salah satu permintaan rakyat Mesir yang mengadakan bantahan sejak 11 Februari lalu, apabila Encik Mubarak digulingkan berikutan pemberontakan selama 18 hari.
‘Inilah impian rakyat Mesir… melihat beliau seperti itu, berasa terhina sama seperti bagaimana beliau mengaibkan mereka sejak 30 tahun yang lalu,’ kata Cik Ghada Ali.
Anak Cik Ali, seorang gadis berusia 17 tahun, ditembak mati di bandar Iskandaria semasa pihak berkuasa Mesir melancarkan tindakan keras ke atas para pembantah.
‘Saya mahu melihat jantung mereka meletup sebagaimana jantung anak perempuan saya yang meletup akibat tembakan peluru mereka,’ kata Cik Ali kepada agensi berita The Associated Press (AP).
Beliau begitu sebak mengenangkan peristiwa perit yang dialaminya itu.
Semalam merupakan kali pertama rakyat Mesir melihat Encik Mubarak sejak 10 Februari lalu iaitu ketika beliau menyampaikan ucapan di televisyen yang mengingkari gesaan yang mahukan beliau meletak jawatan. — Reuters, AP.









