KEMAMAN – PAS Selangor mengingatkan Menteri Besar Pakatan Harapan, Dato’ Seri Azmin Ali bahawa kerajaan itu bakal ‘tumbang’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Ia kerana, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai parti KeADILan Rakyat (PKR) telah memalukan serta menafikan hak 13 wakil rakyat PAS di negeri itu.
“Hari ini kita (wakil rakyat) dinafikan mendapat peruntukan kerajaan negeri Selangor. PAS Selangor sama dengan PAS Terengganu yang tidak mendapat peruntukan kerajaan negeri masing-masing.


“Sambutan Karnival 10 tahun pentadbiran Pakatan Rakyat yang kini Pakatan Harapan. Semua Exco diberikan ruang dan peluang untuk bercakap tentang kejayaan-kejayaan yang lalu sampai hari ini kecuali Exco-exco daripada PAS.
“Sedangkan, dia minta peruntukan kelulusan kerajaan negeri sebanyak RM612,000 untuk buat program itu. Tiga orang Exco kita dimalukan dalam program itu. Kita masih lagi dalam kerajaan Selangor tetapi tidak diberikan peruntukan dan ini tidak berlaku dalam sejarah,” jelasnya.


Ustaz Sallehen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak mengingatkan tentang sejarah kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor.
Katanya, tindakan Dr Mohamad Khir Toyo mantan Menteri Besar Selangor memalukan seorang pegawai kerajaan dengan hadiah ‘penyapu’ dibenci oleh rakyat.
“Saya teringat zaman Khir Toyo diakhir menjadi Menteri Besar Selangor tempoh hari. Khir Toyo ‘menghadiahkan’ penyapu kepada seorang Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Hulu Selangor.


“Hari ini, 13 orang wakil-wakil rakyat PAS dan Exconya dimalukan oleh PKR, Pakatan Harapan. Pakatan Harapan juga akan tumbang di negeri Selangor, Insya’Allah,” ujarnya.
Menurutnya, perjuangan PAS tidak bergantung harap kepada manusia semata-mata tetapi yakin dengan pertolongan Allah SWT.
Sebenarnya, kata Ustaz Sallehen lagi duit tidak dapat menjinakkan hati-hati manusia tetapi Allah SWT yang boleh menjinakkan hati-hati manusia.





























