Oleh : Rusni Hassan
KUALA NERUS – Majlis Tindakan DUN Teluk Pasu berjaya memperolehi sebuah van bagi memudahkan pengurusan jenazah dan sedia memberikan khidmat kepada warga kawasan Dewan Undangan Negeri itu.
Pengerusinya yang juga ADUN Teluk Pasu berkata, ia akan digunakan untuk sama ada membawa pulang jenazah dari hospital atau lokasi luar kawasan atau membawa jenazah rumah ke masjid, sehingga ke tanah perkuburan.
“Setiap kali hadir untuk menunaikan solat jenazah dan kadang-kadang mengiringinya ke perkuburan, hati saya dirundung rasa sedih dan hiba,
”apabila melihat jenazah yang dibawa ke tanah perkuburan menggunakan lori tanah atau hilux. Sedangkan itu adalah penghormatan terakhir buat arwah,” ujarnya.


Beliau berkata demikian sempena hampir satu tahun pelancaran khidmat kenderaan tersebut yang telah mula beroperasi pada Mei, 2017.
“Alhamdulillah, hasrat dan cita-cita itu akhirnya dimakbulkan oleh Allah Ta’ala dan buat masa ini, perkhidmatan van jenazah ini meliputi Daerah Kuala Nerus sahaja,
”bagi warga DUN Teluk Pasu perkhidmatannya adalah percuma manakala permintaan dari luar akan dikenakan caj RM50 sahaja,” jelas beliau.
Oleh itu, beliau berkata, mana-mana pihak yang inginkan perkhidmatan van jenazah itu boleh menghubungi nombor telefon para petugas di talian; 016 986 7007 (Sanusi), 013 990 6886 (Azmi) dan 013 947 4293 (Syed Nazli).




























