Ghouta; Gencatan Senjata Gagal, Lebih 600 Terkorban

1149

Gencatan senjata gagal di daerah Ghouta, Syria mennyebabkan seramai 674 orang awam terbunuh dalam tempoh hampir dua minggu disebabkan serangan udara berterusan rejim yang dibantu Rusia.

Pertahanan Awam Syria, yang juga dikenali sebagai White Helm , berkata pada hari Jumaat bahawa angka kematian itu dicatat sejak 18 Februari lalu.

Timur Ghouta , tempat tinggal kepada hampir 400,000 orang, telah dikepung oleh tentera Bashar sejak kumpulan pembangkang mengambil alih kawasan itu pada pertengahan tahun 2013.

Walaupun pengeboman udara telah mendapat kutukan antarabangsa namun gencatan senjata selama 30 hari yang disokong sebulat suara oleh anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu gagal.

“Sejak gencatan senjata disebut-sebut gagal sehingga kini, 103 orang telah terbunuh,” kata Mahmood Adam, anggota White Helm.

Antara yang terkorban, Adam berkata, 22 orang kanak-kanak dan 43 wanita.

“sasaran yang sistematik oleh kapal terbang Syria dan kawasan perumahan di Ghouta Timur tidak berhenti,” katanya kepada Al Jazeera.

Penduduk juga menyatakan rasa tidak percaya mereka kepada gencatan senjata selama lima jam sehari yang dicadangkan oleh Rusia, yang kononnya akan mewujudkan ’koridor kemanusiaan’ untuk membenarkan pemindahan orang awan mencari perlindungan dan rawatan perubatan serta kemasukan konvoi bantuan.

Setakat ini, tidak ada satu konvoi bantuan yang dapat masuk, dan penduduk mengatakan bahawa tidak ada jaminan keselamatan kepada mereka sekiranya mereka memilih untuk mengosongkan kawasan tersebut.

“Orang-orang Ghouta Timur mengejek berita ‘koridor keluar’…..mereka tidak mempercayainya kerana mereka telah kehilangan keyakinan sepenuhnya terhadap kredibiliti rejim itu,

“terutamanya kerana pengeboman yang tidak henti-henti, dan tidak percaya kepada Rusia serius dalam menjaga orang awam daripada peperangan, “kata Abdelmalik Aboud, seorang aktivis dari bandar Douma.