Ustaz Hadi Maafkan Tun Dr Mahathir

2251

Oleh : KAM

MARANG – Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sedia memaafkan celaan melampau Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap dirinya yang dilabelkan sebagai ‘kafir’ kerana dilihat mesra dengan Umno.

Namun, katanya kesalahan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu dengan Tuhan perlulah beliau bertaubat.

Ustaz Abdul Hadi turut menasihati Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu agar insaf diusia tuanya serta banyak membaca buku-buku tentang agama Islam.

“Dia (Mahathir) orang sudah tua, biar dia insaf sendirilah. Tapi melampaulah, kita ingat biar dia insaf sendiri, dia fikir-fikir malam, dia duduk seorang dan biar dia banyak membaca. Jangan baca buku perubatan sahaja, buku Islam pun dia kena baca.

“Dia macam orang terdesak, ‘rapat ke dinding’…dia tak boleh nak pergi doh dan dia rempuh dinding itu. Jadi tak pasal-pasallah ‘pecah kepala’ sendiri.

“Saya biarkan dia (Tun) insaf sendiri dan mudah-mudahan dia insaf, antara saya dengan dia (Mahathir) itu saya maaf tetapi dia dengan Tuhan (Allah) dia kena bertaubat,” ujarnya.

Beliau menjawab persoalan wakil media selepas merasmikan Markas Besar PRU14 N20 Pengkalan Berangan di Perkarangan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Mukmin, Pengkalan Berangan, Marang, malam tadi.

Ketika ditanya serangan Tun Dr Mahathir terhadapnya berpunca dari ‘Amanat Haji Hadi’ di Banggol Peradong 1981, Dato’ Seri Abdul Hadi menegaskan telah menjelaskan isu itu melalui tulisan bukunya.

Justeru, kata beliau tidak mahu menjelaskan lagi tetapi meminta pihak yang masih keliru itu merujuk kepada buku tulisannya yang telah dicetak berulang kali.

“Saya sudah tulis buku (penjelasan) dan telah dicetak beberapa kali. Saya tak mahu ulang baliklah, rujuk pada buku itu cukup,” tegasnya.