KUALA TERENGGANU – PAS melihat kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) gagal dalam menyelesaikan permasalahan perumahan yang dihadapi rakyat terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Malaysia, YB Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, punca utamanya sudah sangat jelas dan diakui pelbagai pihak iaitu harga rumah yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan pendapatan dan kekurangan bekalan rumah mampu milik dalam pasaran.
“Di tambah pula dengan kompleksiti industri perumahan di negara ini sehinggakan mewujudkan peluang kepada pihak tertentu untuk mengaut keutungan atas angin di atas bebanan yang perlu ditanggung oleh pembeli.
“Isu ini sebenarnya boleh sahaja diselesaikan, dengan syarat sesebuah kerajaan itu hendaklah menggunakan kaedah Islam yang adil untuk semua disamping memiliki kemahuan politik yang bersungguh,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian dalam kenyataan medianya hari ini, 19 Disember
Menurutnya, PAS sangat komited mahu menyelesaikan isu pemilikan rumah ini bukan sahaja kerana memahami bahawa kediaman merupakan salah satu keperluan asasi manusia.
Bahkan jelas beliau, PAS menyedari bahawa status pemilikan rumah juga sangat memberikan kesan ke atas pembentukan struktur sosial dan politik sesebuah masyarakat.
“Nabi s.a.w. juga bersabda : ( مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ : الْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ )
“Antara punca kebahagiaan seseorang ialah jiran yang baik, kenderaan yang selesa dan kediaman yang lapang”. – Hadis riwayat Ahmad dan dinilai Sahih oleh Albani,” jelas beliau memetik sabda nabi SAW.
Oleh demikian, kata beliau, PAS telah menterjemahkan komitmen ini dalam manifesto untuk ditawarkan kepada rakyat dalam PRU14 akan datang.
“Setiap rakyat Terengganu berumur 21 tahun ke atas yang layak berhak mendapatkan satu lot tapak rumah tempat tinggal atau satu unit rumah kediaman. Selain itu, PAS juga memperuntukkan RM50 juta setahun untuk Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat.
“Saya juga sebelum ini ada menyuarakan beberapa kaedah bagi menyelesaikan isu ini antaranya melalui penggubalan akta tertentu bagi mengawal harga rumah, pelaksanaan pinjaman qard al-hassan dan pengenalan sukuk al-ijarah dalam proses pembiayaan perumahan serta pembukaan kampung-kampung baharu,” kata beliau lagi.
Justeru, saya percaya apabila PAS terus diberikan mandat dalam siri pilihan raya umum akan datang, lebih banyak manfaat yang akan dinikmati oleh rakyat di negara ini dan isu pemilikan rumah ini akan dapat diselesaikan dengan sebaiknya.











