Ustaz Mat Li, Di Mana Dihantar, Di Situ PAS Diperjuangkan

2269

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Ustaz Rosli Abas atau mesra dipanggil Ustaz Mat Li dari Kampung Tanah Merah, Jabi. Baru melalui hari-hari persaraan sebagai seorang guru di Kementerian Pendidikan Malaysia. Sangat istiqamah dengan parti walau tak berjawatan tinggi. Sepanjang lebih 20 tahun dalam perkhidmatan perguruan, sebahagian besarnya beliau dihantar ke serata ceruk lantaran kerana pegangan politiknya berbeza dengan pihak kerajaan yang memerintah.

Kalau nak dengar kisah seorang guru yang menjadi mangsa pertukaran ke sana-sini kerana politik, Ustaz Mat Li adalah antara saksi yang masih hidup. Isteri beliau yang juga merupakan Setiausaha Muslimat PAS Jabi pernah bergurau, “Sepanjang tempoh berumahtangga, berapa hari je Ustaz boleh duduk di rumah.”

Bekas ADUN Jabi, Ramlan Ali pernah sebut bahawa selagi dia jadi wakil rakyat, selagi itulah Ustaz Mat Li tak akan dapat balik kampung. Kebetulan Ramlan dan Ustaz Mat Li berasal dari kampung yang sama, Kampung Tanah Merah Jabi. Sampai begitu sekali kebencian ditunjukkan kepada hamba Allah ini.

Saya kenal Ustaz sebagai seorang sahabat dengan perwatakan yang sangat tenang. Walau ‘terpelanting’ ke merata tempat seperti Tengkawang, Hulu Terengganu, Pulau Perhentian, Jerangau dan perkhidmatan beliau yang terakhir di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun. Ada lagi beberapa tempat perkhidmatan beliau yang saya tak tahu.

Berulang-alik setiap minggu dengan jarak ratusan kilometer untuk menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik, ayah dan suami. Isteri beliau Puan Rohaya Ishat yang mesra dipanggil Kak Ani tinggal di kampung menjaga anak-anak dan seorang ibu tua yang meninggal beberapa tahun lalu.

Menarik juga untuk diceritakan, di mana tempat Ustaz Mat Li dihantar berkhidmat, maka di situ beliau akan menghidupkan surau dan masjid dengan kuliah agama sehingga susuk yang tawadu’ ini menjadi kesayangan masyarakat serta menjadi tempat rujukan mereka. Mudah sebut, mana tempat Ustaz Mat Li pergi, PAS akan mendapat khidmatnya. Pening kepala juga Umno nak tangani isu ini.

Lagi jauh hantar, lagi PAS berkembang! Saya tak pernah dengar dari mulutnya keluar ungkapan keluhan atas apa yang beliau lalui. Pasrah dan redha serta memanfaatkan setiap tempat beliau ‘dibuang’ untuk menyampaikan dakwah Islam. Hebatnya bila sentiasa berfikir positif dan mengubah suatu ‘hukuman’ menjadi anugerah bernilai.

Sambutan Hari Guru tahun ini, PAS Jabi mengambil pendekatan sedikit berbeza dengan mengunjungi bekas-bekas guru yang telah bersara. Mengalir air mata beliau menerima kunjungan dan penghargaan. “Ada lagi orang ingat ko kita…” Kata Ustaz Mat Li sayu.

Petang semalam 4 Disember 2017, ketika berada di Pejabat Agung PAS menunggu mesyuarat bulanan PAS Pusat yang dijadualkan pada malamnya, berita yang amat menyentap jantung hati saya diterima. Ustaz Mat Li kembali kerahmatullah setelah hampir 2 minggu terlantar di hospital kerana komplikasi penyakit kencing manis yang dideritainya.

Innalillah wainna ilaihi raajiuun.

Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai sahabatku Ustaz Mat Li.

Saya menjadi saksi bagaimana pengorbanan Almarhum untuk Islam dan masyarakat sepanjang tempoh hayat beliau. Ustaz Mat Li sepanjang tempoh khidmat beliau di Kementerian Pendidikan, dihantar ke segenap ceruk negeri berjauhan dari keluarga tapi beliau tetap tabah dan istiqamah. Inilah bukti nyata bagaimana contoh seorang guru yang ditekan dan dianiaya kerana alasan politik oleh mereka yang memiliki kuasa sementara di dunia ini.

Di mana pun beliau berada, di situ kelas pengajian agama akan dibuka. Campak ke mana pun Ustaz Mat Li redha dan terus berbakti.

Semoga balasan syurga buatmu sahabatku.

Insan tabah berhati mulia seperti beliau akan sentiasa diingati.

*Penulis ialah AJK PAS Pusat