Oleh : Norhayati Ripin
KUALA NERUS – Seluruh jentera PAS sentiasa bersedia untuk membantu semua pihak untuk menghadapi bencana banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz haji Hishamuddin Abd Karim berkata, PAS sedaya upaya bersama dengan seluruh tenaganya yang telah disusun bersiap sedia untuk menghadapi musibah banjir.
“Pihak agensi kerajaan seperti jabatan Bomba dan Penyelamat dan JPAM serta pihak tentera memainkan peranan turut sama mengangkut mangsa banjir dan memberi kerjasama yang baik untuk membantu seluruh penduduk yang terkesan dengan banjir,
“Petugas kita (PAS) telah berjaya membuka satu bilik gerakan untuk memusatkan seluruh aduan daripada penduduk untuk dibantu sebilangan daripada kalangan mangsa banjir pada kali ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau mangsa banjir di Taman Desa Tanjung damai, Gong Badak, Sabtu, 2 Disember.
Menurutnya, semua petugas bergerak secara konsisten sejak beberapa hari yang lalu dan meninjau lokasi yang dijangkakan akan dilanda musibah itu, antaranya Taman Desa Tanjung Damai.
“PAS yakin setelah pusat pemindahan dibuka, seluruh bekalan makanan dan seumpamanya akan di pusatkan disana untuk membantu mangsa banjir,
“dan sedikit makanan untuk tengahari (telah) diagihkan kepada penduduk yang terperangkap dalam kawasan terbabit,”ujar beliau.
Beliau menambah, walaupun sudah sedia berdepan dengan musibah pada kali ini, beliau yakin kejadian banjir yang melanda adalah daripada Allah SWT untuk menguji tahap kesabaran manusia menghadapinya.
“Trend Taman Desa Tanjung Damai ini merupakan satu tempat yang pada asalnya sebelum perumahan tempat takungan air yang agak besar,
“Kemudian setelah dibina perumahan penduduk telah melalui beberapa siri banjir besar. Sebelum ini banjir yang agak besar dan menyeluruh telah berlaku pada tahun 2014,
“Sebelum daripada ini penduduknya tidak ramai seperti hari ini dan agak kelam kabut dari sudut pengurusan yang akan dihadapi oleh pihak berwajib agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujar beliau.
Justeru, beliau berharap agar seluruh penduduk menjaga anak masing-masing dengan baik dan memastikan kebersihan diutamakan kerana menurutnya, kanak-kanak dilihat sentiasa seronok bermain dengan air.
“Dan (saya) berharap mereka menjaga dengan baik kesihatan dan penularan wabak-wabak yang tidak sepatutnya sepanjang musim banjir ini,” pesan beliau.










