RCI Forex; ‘Batu’ Najib Bunuh Berapa Ekor Burung?

1636

Oleh : Mohd Nasir Abdullah

Pepatah Inggeris mengatakan ‘kill two birds with one stone’ adalah sesuatu yang biasa kita dengar bagi menggambarkan kebijakan tindakan satu pihak bagi memusnahkan musuhnya yang berbilang dengan meminimakan senjata atau peluru dengan sekali tembakan. Contoh terbaik ketika ini yang dapat kita perhatikan ialah keputusan Royal Commission of Inquiry (RCI) atau Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat punca kerugian RM31.5 billion wang rakyat yang dijaga oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urusniaga tukaran wang asing (Forex) pada awal tahun 90-an dahulu.

Setelah sekian lama bersidang, RCI akhirnya menyimpulkan bahawa Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir dan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanggungjawab dan perlu disiasat bagi kes ini. Tidak cukup dengan dua sosok ini sahaja, RCI juga mencadangkan agar dua orang Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcob turut perlu diseret sama bagi didakwa di mahkamah.

Nampaknya DS Najib Razak, berusaha mengenakan musuh politik beliau dengan melemparkan ‘batu’ RCI, tepat pada waktu yang agak genting bagi mereka yang bercita-cita untuk bertempur dalam PRU nanti. Kedua-duanya memerlukan ‘bahan pencuci’ yang agak kuat dan segera bagi menanggalkan segala kekotoran yang mereka sendiri cipta dahulu ketika berkuasa. Ia kini didedahkan kembali oleh DS Najib, salah seorang daripada pasukan mereka sendiri ketika itu. Malah Tun Daim juga terpalit najis itu walaupun sudah turun tahta Menteri Kewangan pada tahun kejadian. Manakala TS Nor pula dipanggil orang utara sebagai ‘kupang tembaga’ iaitu sesuatu yang dilihat sebagai tidak ada nilai di dalam Umno, menjadi bidak catur yang mesti dikorbankan. Sememangnya beginilah perjalanan politik, terutama politik Umno, acuan Machiavelli.

Suatu ketika dahulu, pembangkang seperti PAS, melalui Haji Mohamad Sabu yang begitu lantang ‘mengerjakan’ pimpinan-pimpinan Umno ini di atas pentas PAS atas nama memperjuangkan hak rakyat. Kata beliau, sehinggakan Perdana Menteri Britain, mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana diatas permainan spekulasi Forex itulah, Pound Sterling telah berjaya diselamatkan. Tidak terkecuali juga hentaman-hentaman keras dari pimpinan-pimpinan DAP dan juga Semangat 46 kepada Umno yang ketika itu dianggotai oleh Tun Mahathir, DS Anwar, DS Najib dan lain-lain.

Setelah puluhan tahun, para penghentam dan yang dihentam, bergabung pula dalam satu pasukan baharu bagi menentang Umno sekarang ini atas asbab yang dikatakan sebagai pasukan penentang kleptokrasi kerajaan Najib. Mereka berpadu sesama mereka, melupakan najis-najis yang masih melekat dan berbau di badan masing-masing dengan kesemuanya bergandingan bahu, berpelukan, melekap tubuh sesama sendiri, bertukar-tukar bau-bauan najis itu. Mereka mengenakan pakaian lain tetapi tidak memakai topeng bagi menutup wajah mereka yang sebenar. Wajah mereka, masih wajah yang sama ketika mereka menjahanamkan wang rakyat. Dan slogan mereka adalah bagi membina semula negara dengan harapan rakyat tidak mengenali penyamaran mereka.

Oleh itu, secara mudah dan ringkas, DS Najib telah berjaya melemparkan ‘batu’ RCI bagi membunuh, bukan sahaja dua malah mungkin berpuluh-puluh lagi musuh beliau kerana mereka telah bersatu di bawah satu bumbung. Paling tragis, palitan najis-najis itu turut terkena kepada golongan-golongan yang dahulu suci ketika melawan Tun Mahathir kerana tidak pernah melakukan penyelewengan wang rakyat ketika itu. Ini kerana ‘kepala tahi’ (meminjam kata Shahnon Ahmad) itu sekarang ada bersama mereka. Itulah nasib mereka yang lebih gila mengejar Putrajaya daripada bersabar secara perlahan-lahan membenamkan musuh. Adakah mereka sedang mara menuju ke Putrajaya dengan menaiki ‘Kuda Trojan’? Mungkin Tun Mahathir boleh menjawabnya.

Ada beberapa cara bagi Tun Mahathir, DS Anwar dan semua mereka termasuk Mohd Sabu dan Lim anak beranak untuk melarikan diri daripada permasalahan ini. Antaranya ialah masuk kembali ke dalam Umno bagi tujuan ‘celupan penyucian dosa lalu’. Atau bagi yang bukan bekas Umno, mereka boleh bersama dengan Umno. Mereka juga boleh mengadakan perbincangan gabungan kerajaan, membahagikan kerusi-kerusi mengikut kekuatan masing-masing, menolak gabungan kuat yang lain seperti PAS. Mereka perlu memusnahkan PAS, musuh utama Umno sejak azali, secara terang ataupun sembunyi. Itulah jalan terbaik bagi mereka menyelamatkan diri dari dimusnahkan Umno. PAN dan DAP terpaksa mengikut jalan ini kerana mereka tidak mempunyai kekuatan, mereka sememangnya spesis menumpang , cuma bezanya PAN hanya khadam kepada DAP. Bayangkan jika Tun Mahathir kembali kepada Umno dan disucikan DS Najib? Bagaimana DS Anwar akan menghadapi pertuduhan RCI itu?

PAS sehingga kini masih berpegang teguh dengan pendirian mereka ketika itu, iaitu wang rakyat telah diselewengkan dan mesti diselamatkan. Seseorang mesti mengambil tanggungjawab atas kerugian puluhan billion Ringgit Malaysia ini. Ya, hanya PAS yang kekal berdiri teguh dari mula sehingga kini berdiri di atas prinsip mempertahankan hak rakyat ini. PAS tidak pernah bersetuju dengan kesalahan yang dilakukan itu. PAS istiqamah menentang kesemua gandingan dalam isu ini, samada PH, mahupun BN kerana pimpinan mereka adalah salah seorang daripada pasukan pemusnah wang rakyat ketika itu. Oleh itu, ‘batu’ RCI yang dilemparkan DS Najib itu sebenarnya turut mengenai beliau sendiri, meninggalkan PAS sahaja yang terselamat. Dan jika ada dari kalangan PAS dan Gabungan Sejahtera yang terpalit, hadapkan segera mereka ke muka pengadilan.