KUALA TERENGGANU – Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) terutamanya menerusi Kementerian Pelancongan mestilah bersikap tegas terhadap pengusaha hotel termasuk membatalkan lesen mereka sekiranya didapati melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Malaysia, YB Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, adalah sangat tidak wajar wanita muslim dalam sebuah negara bermajoriti muslim, dihalang bertudung.
Sedang kata beliau, perlembagaan negara meletakkan Islam Agama Persekutuan, mengapa majikan memberi alasan remehnya kononnya ia adalah kod berpakaian yang ditetapkan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, ia merupakan satu cabaran dan penghinaan terhadap kedaulatan Islam.
“Langkah pro-aktif Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor dalam mempertahankan hak bertudung wanita Islam di negara ini adalah tindakan terpuji yang sewajarnya dicontohi oleh semua pihak berkuasa.
“Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan mengenakan syarat tambahan kepada pengusaha hotel untuk tidak melarang pekerja wanitanya bertudung di tempat kerja, dalam proses meluluskan permit mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Jumaat 1hb Disember, hari ini berhubung tindakan yang telah diambil oleh JTK Johor terhadap hotel yang melarang pekerja wanitanya di bahagian ‘front desk’ bertudung.
Menurutnya, JTK Johor telah melakukan pemeriksaan dan memberi nasihat peringatan kepada 4 hotel yang telah mengenakan larangan pemakaian tudung di bahagian perkhidmatan pelanggan.
“Tindakan (hotel) terbabit jelas bercanggah dengan Kod Perilaku Keharmonian Perindustrian yang merupakan perjanjian bersama antara Kementerian Sumber Manusia dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.
“Yang telah menyatakan bahawa menjadi kewajipan majikan untuk tidak mendiskriminasikan pekerja dan mewujudkan keharmonian di tempat pekerjaan, “ jelas Ustaz Khairuddin.
Selain itu tambah beliau, tindakan pro-aktif ini selari dengan peraturan dan peruntukan undang-undang sedia ada. Perkara 8 dan 11 Perlembagaan Persekutuan telah secara jelas menyatakan berkenaan larangan diskriminasi dan hak kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama.
“Saya menggesa agar pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara juga menggunakan kuasa yang telah diperuntukkan oleh undang-undang, seperti kuasa mengeluarkan lesen bagi memastikan kedudukan Islam dan hak umat Islam terus terpelihara.
“Tidak sewajarnya pihak yang tidak menghormati perlembagaan itu dibiarkan untuk terus beroperasi. Malah semua kerajaan negeri sepatutnya mencontohi langkah Kerajaan Kelantan sejak 1992 yang mengenakan syarat berpakaian menutup aurat bagi muslim dan muslimah di setiap premis perniagaan di Kelantan sebagai peraturan kelulusan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT),” tegas beliau lagi.
Justeru, beliau menyeru kepada para peguam Muslim agar ke hadapan dan komited memberikan pembelaan kepada pekerja-pekerja beragama Islam yang dinafikan hak mereka untuk mengamalkan ajaran Islam.










