Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memberi kesempatan untuk bersama-sama PASRelief Terengganu yang diketuai oleh Pengerusinya Tuan Haji Yahaya Ali dan Tuan Haji Mohd Sanusi Mohd Nor, Pengarah PASRelief Malaysia di dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya dari 13 sehingga 17 November 2017.
Sebuah pengalaman yang cukup berharga menyaksikan pertautan di atas satu aqidah Islam dan rasa kemanusiaan yang dapat menyatukan hati-hati manusia walaupun tidak pernah bertemu, tidak pernah mengenal malahan bahasa dan budaya yang jauh berbeza di antara satu sama lain Dan benarlah sebagaimana Firman Allah di dalam Surah Al- Anfal ayat 63 yang bermaksud; “Dan Dialah (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang beriman)….” Terima kasih kepada negara Bangladesh dan semua negara-negara yang membantu saudara-saudara Rohingya!!!
Lebih kurang pukul 3.00 pagi, 13 November 2017, kami, anggota rombongan PASRelief Malaysia melangkahkan kaki masuk ke dalam pesawat Bangladesh, BIMAN Airline dan sebelum berlepas, juruterbang membacakan doa naik pesawat dan ada juruterbang yang bertakbir Allahu Akbar sebanyak tiga kali sebelum doa dibaca sebelum memulakan penerbangan samada semasa perjalanan kami pergi dan balik dari Malaysia ke Dhaka, Dhaka ke Cox’s Bazar… saya berasa amat bersyukur dan gembira yang tidak terkira….. alangkah bahagianya kalau ianya dapat dipraktikkan di dalam pesawat Malaysia kita.


Alhamdulillah… untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya kali ini PASRelief Terengganu dengan sumbangan sebanyak RM 500, 000 daripada rakyat Malaysia khasnya rakyat Terengganu termasuk muslimat telah berusaha menyediakan dan membina beberapa projek untuk kemudahan saudara2 Rohingya kita. Sebahagiannya diserahkan kepada NGO tempatan, Coperation of Humanity Activities (CHA) melalui wakilnya Selimullah Musted Ahmad untuk melaksanakan projek-projek yang dicadangkan; pakej makanan untuk 5000 keluarga, 51 buah khemah kediaman, 10 unit Sekolah beserta buku-buku teks, 44 buah telaga tiub, tempat mandi wanita sebanyak 20 unit, 3 buah masjid, pakaian, selimut dan gaji untuk 10 orang guru selama 7 bulan.
13 November, kami sampai di Cox’ Bazar terus ke tempat penginapan dan pada sebelah petangnya bermulalah misi kami… dengan menaiki dua buah van menuju ke sebuah tempat di hujung sempadan antara Bangladesh dan Arakan, Myanmar yang dipisahkan dengan sungai Naf. Tempat yang menjadi tumpuan pelarian Rohingya masuk ke Bangladesh untuk menyelamatkan diri dan keluarga masing-masing… dikabarkan ada yang datang dengan berenang menyelamatkan diri dan ada yang berjalan kaki berhari-hari lamanya menaiki dan menuruni bukit dan menyeberangi sungai dengan menggunakan rakit untuk sampai ke kem-kem pelarian di Cox’s Bazar.


Kami berjumpa, bersalaman dan bertanya khabar dengan pertolongan jurubahasa yang sentiasa bersama-sama kami, Osman dan Shahid…kebanyakan yang kami temui adalah pendatang atau pelarian yang baru sampai yang sedang beratur menunggu giliran untuk ditempatkan di dalam kem-kem yang ada…
Ada yang sudah menunggu sehari, dua atau tiga hari, ada yang makan dan ramai yang belum… dengan ibubapa yang telah tua, ramai wanita atau muslimat yang mengandung tanpa kehadiran suami kerana ada yang dibunuh dan ada yang masih di Arakan dan anak-anak yang masih kecil tanpa ibu dan ayah… saya sempat juga mendukung bayi yang baru lahir. Sedih memikirkan nasib mereka tetapi rasa kagum dengan setengah-setengah wanita-wanita, muslimat Rohingya yang masih lagi dapat menjaga maruah dan aurat mereka.


Betapa sedih dan hibanya melihat penderitaan saudara-saudara Rohingya. Tetapi bagi sesiapa yang berhadapan dengan mereka, kami yang ada dihadapan mereka perlu tabahkan hati …. senyum dalam sedih, tawa dalam tangis… hanya Allah yang tahu.
Pada 16 November, hari terakhir kami di sini seperti biasa bertolak pukul 8.00 pagi ke kem penempatan di Balukhali sebuah kem yang terbesar dan kebanyakan saudara-saudara Rohingya kita telah lama berada di sini, kami melawat sekolah-sekolah, tubewell, masjid atau musolla, rumah kediaman yang dibina berdindingkan plastik hitam dan buluh yang telah siap dibina oleh PASRelief Malaysia semasa kunjungan misi baru-baru ini.


Bagi muslimat, kami berkesempatan bersalam-salaman dengan muslimat Rohingya yang sama-sama menunggu ketibaan rombongan PASRelief dan sempat masuk ke dalam khemah perlindungan muslimat sebelah masjid PASRelief yang penuh padat dengan muslimat Rohingya tetapi hanya sebentar saja. Allahu… khemah hampir-hampir mahu runtuh bila ramai lagi muslimat diluar yang ingin masuk ke dalam dan ada yang masuk ikut bawah dinding-dinding plastik.
Bagi saya ianya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Perjalanan diteruskan di hari terakhir kami di kem Balukhali untuk melihat sekolah yang dibina hasil sumbangan PASRelief Malaysia. Boleh tahan jugak menaiki dan menuruni bukit dengan jarak yang agak jauh… Alhamdulillah bagi kami yang umur hampir senja walaupun kepenatan berjaya juga kami sampai di puncak bukit dengan diapit oleh kanak-kanak Rohingya, yang sedia ada untuk berbakti kepada ibu-ibu muslimat mereka. Sampai dan masuk ke dalam sekolah PASRelief, kanak-kanak sedang menunggu untuk belajar disamping untuk menerima sedikit sumbangan pakaian yang kami bawa. Yang sangat mengembirakan saya, mereka begitu bersemangat dan tekun untuk belajar dan boleh membaca surah-surah dalam Al-Quran dengan fasih dan lancar.


Selamat tinggal saudara-saudaraku Rohingya! Doa kami sentiasa untuk mu…. semoga tabah, sabar dan diberi keimanan yang tinggi dalam menempuhi segala ujian. Semoga Allah mengembalikan tanahair kamu!
Dan kepada sahabatku serta rakyat Malaysia yang disayangi! Kita patut bersyukur dan berbangga kerana kita masih lagi mempunyai tanahair dan rumah serta keluarga di negara Malaysia yang kita cintai. Jagalah ianya dan teruskan perjuangan untuk memartabatkan Islam di bumi Malaysia yang kita cintai!
(Catatan Ketua DMPNT,Hajah Zarani Othman)





























