Pegang Teguh Ajaran Islam Hadapi Gelombang Sekular

1574

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA NERUS – Muslimat muda PAS diingatkan agar berpegang teguh dengan ajaran Islam bagi menghadapi penjajahan pemikiran dan gelombang sekular yang datang dalam pelbagai warna.

Ketua Ameerah Negeri Terengganu, Zuraida Mohd Nor berkata, walau apapun warna yang datang melanda diri dengan membawa gelombang jahiliah, maka wajib ditentang habis-habisan.

“Perjuangan Islam yang didokong Ameerah itu sendiri merupakan satu ibadah di medan siasah dan dakwah serta kita pasti dan yakin akan diganjari pahala oleh Allah yang mana penyertaan Ameerah dalam Dewan Muslimat bertujuan untuk mengabdikan diri kita kepada Allah SWT,

“Setiap program yang dibuat hendaklah jelas matlamat, objektif, strategi dan aktiviti berlandaskan Al Quran dan As Sunnah serta prinsip berjemaah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Himpunan Ameerah (HAMRA) Kuala Nerus,Jumaat, 15 September, disini.

Menurutnya, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz ada menyatakan bahawa perjuangan yang kita tempuhi hari ini, perjuangan yang kita galas hari ini adalah bukan satu pilihan tapi satu kewajipan yang perlu ada dalam diri kita sendiri. Kita perlu galas tanggungjawab ini.

“Kita mesti memberi kefahaman kepada anak muda bahawa pentingnya memilih perjuangan Islam, pentingnya bersama dengan Parti Islam Semalaysia (PAS). Peranan utama Ameerah terutamanya yang memegang jawatan pimpinan di peringkat kawasan ataupun dun, yang pertama mesti memberi dan menyebarkan pendidikan politik kepada wanita muda diluar sana,

“Untuk membuktikan gerak kerja kita kepada masyarakat, membuktikan kepada Dewan muslimat, membuktikan kepada Pas Kawasan bahawasanya Ameerah ini bukan sekadar orang kata satu unit jadi menceriakan majlis tapi kita mesti berperanan untuk membantu kemenangan Islam bagi meraih undi sokongan wanita muda pada parti PAS itu sendiri,” jelas beliau.

Tambah Zuraida lagi, kemeriahan anak –anak muda hadir memberi sokongan tanda anak muda untuk sama2 memperjuangkan Islam khususnya untuk kemenangan Islam pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

“Saya membawa satu harapan tinggi daripada Ameerah Terengganu terutama Ameerah kawasan biar kita ada satu perasaan bangga bahawa kita ada persatuan yang diiktiraf oleh Dewan Muslimat yang mana Ameerah, Briged serta Nusaibah duduk setaraf dan sebaris dengan lajnah-lajnah yang lain,

“Kita perlu rasa bangga bergelar Ameerah,Nusaibah dan Briged Muslimat biar kita ada rasa satu tanggungjawab untuk memastikan meletakkan diri kita sebaris dengan saf kepimpinan Dewan Muslimat yang lain,” katanya.

Justeru, Ameerah disaran mengambil contoh Serikandi Islam zaman Rasulullah SAW yang boleh diambil pengiktibaran dan semangat untuk mendaulatkan Islam walaupun nyawa menjadi taruhan.