PAS Rakam Takziah Kepada Mangsa Kebakaran Sekolah Tahfiz

1681

Oleh : Ibrahim Harun

KUALA LUMPUR – PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat, pihak pengurusan Darul Quran Ittifaqiyah, khususnya kepada anak-anak yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Timbalan Presidennya Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berharap tabah, sabar menerima ujian dan berdoa mendapat pahala syahid Allah SWT.

“yang pertama sekali, bagi pihak PAS saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat, pihak pengurusan tahfiz, khususnya kepada anak-anak yang terlibat dalam kemalangan ini.

“Kita mengharapkan balasan syurga Allah SWT, dan mendapat pahala syahid kepada mereka semua. Dan kepada keluarga, kita mendoakan mudah-mudahan kita tabah, sabar menerima ujian,” ujarnya,

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi sekolah tahfiz tersebut di di Jalan Keramat Hujung, hari ini 14 September.

Katanya, ‘anak-anak simpanan syurga’ tersebut akan membimbing ibubapanya ke ‘jannah’ di akhirat insyaAllah.

Justeru itu, beliau berharap orang ramai menghulurkan bantuan, agar dapat meringan beban yang dialami oleh mereka yang terjejas.

“Dan kita mengharapkan kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama kita memberikan perolongan, sumbangan, menghulurkan bantuan, doa.

“Mudah-mudahan keluarga mangsa terlibat ini akan sentiasa tabah sabar menghadapi ujian Allah SWT,” jelasnya.

Beliau juga mengajak seluruh rakyat Malaysia, mencari kebaikan dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak bila berlaku sebarang musibah, sebagaimana yang terjadi keatas sekolah tahfiz itu.

“sepertimana Allah ingatkan kita, “Dan apabila kita ditimpa sesuatu musibah, maka kita ucaplah dari Allah kita datang dan kepada Allah lah kita semua kembali,”

“Mudah-mudahan diberkati oleh Allah SWT dan Allah mengampuni dosa-dosa kita semua,” tambah beliau.

Seramai 21 pelajar dan dua oranng warden meninggal dunia dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi Khamis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dipetik Bernama berkata, enam pelajar dan seorang orang awam turut cedera dalam kejadian itu.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.41 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, 14 pelajar dan 4 empat guru berjaya menyelamatkan diri.
Beliau berkata, ramai mangsa terperangkap dalam kebakaran itu kerana pusat tahfiz berkenaan hanya mempunyai satu pintu keluar masuk.