– Perutusan DMPNT Sempena Eidul Adha
الله أكبر! الله أكبر! الله أكبر!
Hari ini, 10 Zulhijjah 1438H, umat Islam menyambut Eidul Adha di seluruh dunia sementara jemaah Haji menunaikan kefardhuan Haji di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah. Inilah hari perpaduan seluruh umat Islam, menyatukan manusia dari pelbagai bangsa dan negara di atas satu tujuan, mengabdikan diri hanya kepada Allah serta menunaikan segala tuntutan mengikut syari’at yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Perayaan kedua terbesar umat Islam ini juga memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s bersama isteri dan anak Baginda, Nabi Ismail a.s. Ketaatan dan kepatuhan kepada Yang Maha Esa dibuktikan dengan peristiwa korban yang berlaku pada zaman Baginda.
Difardhukan ibadat Haji di Baitullah dan disunatkan mengerjakan ibadah korban bagi yang berkemampuan sebagai tanda syukur dan patuh kepada Allah S.W.T Pengorbanan yang dianjurkan Islam tidak hanya berlegar seputar ibadah korban semata-mata, akan tetapi ianya lebih besar daripada itu.
Sejarah Islam telah melakarkan kehebatan kisah perjuangan dan pengorbanan para Rasul, sahabat dan pejuang-pejuang Islam demi meninggikan Islam. Perjuangan yang menegakkan Aqidah Tauhid sekaligus menentang kebatilan dan syirik, menyekutukan Allah dalam apa saja bentuk penyembahan dan perjuangan ini diteruskan oleh Nabi Muhammad S.A.W yang sangat memerlukan keikhlasan, ketaqwaan, kesungguhan dan pengorbanan seluruh jiwa dan raga setiap yang bergelar muslim.
Perjuangan ini, yang mesti diteruskan oleh kita semua, umat Islam yang ada hari ini memerlukan pengorbanan yang besar daripada para penyokong serta pendokongnya kerana kita berhadapan dengan cabaran alaf baru yang lebih mencabar; Islam Liberal, Islam Moden dan pelbagai lagi bentuk penyembahan yang hanya menggunakan akal dan mengutamakan wang ringgit dan keduniaan semata-mata. Semakin tinggi keyakinan kepada Allah SWT, semakin bertambah keinginan untuk berkorban untuk-Nya.
Firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah, ayat 111 :
إن الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم بأن لهم الجنة يقاتلون في سبيل الله فيقتلون ويقتلون وعدا عليه حقا في التورىة والإنجيل والقرآن ومن اوفى بعهده من الله فاستبشروا ببيعكم الذي بايعتم به وذلك هو الفوز العظيم
Maksudnya: “Sesungguhnya, Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung”.
Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu mengucapkan selamat menyambut Eidul Adha 1438H kepada semua. Semoga kita tergolong di kalangan hamba Allah SWT yang berkorban tepat pada waktu dan tempatnya, dan juga segala pengorbanan yang dilakukan ini mendapat perhatian di sisi Allah SWT.
Siiru ‘Ala Barakatillah.
Puan Hajjah Zarani Othman,
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu.




























