Oleh : Wan Mariam Wan Jusoh
MARANG – Bot milik nelayan pantai, Zakaria Omar, 58, berasal dari Kampung Jambu Bongkok, dekat sini telah ditemui dengan injinnya ‘masih hidup’ tetapi tuannya tidak ada.
Tambah menghairankan kata isterinya, Fatimah lbrahim, 50, semua peralatan masih ada dalam bot tersebut ketika ditemui tersadai di tepi pantai, dekat Rantau Abang.
“ikan hasil tangkapan ada di dalam bot…….semua peralatan ke laut juga ada….pukat masih berada di dalam air,

“tapi suami saya tak ada…..,” ujarnya sedih, ketika ditemui menerima kunjungan isteri Ahli Parlimen Marang To’ Puan Hajah Zainab Awang Ngah, di rumahnya pada Khamis 24 Ogos.
Turut sama dalam program ziarah itu ialah ialah Ketua Dewan Mulismat PAS Terengganu Hajah Zarani Othman dan Ketua Muslimat DUN Pengkalan Berangan, Puan Noridah Majid.
Fatimah berkata, beliau tidak menyangka ‘laut yang tenang’ pada Isnin 14 Ogos, membawa berita menyedihkan kepada seisi keluargnya.
“saya mempunyai tujuh orang anak……yang bongsu berusia 19 tahun, pagi itu laut sungguh tenang (dan) seperti biasa nelayan turun seawal mungkin,

“mereka turun bersama tetapi bot masing-masing….mereka semua pulang, tapi suami saya tak,” tambah beliau sedikit hiba.
Menurutnya, suami beliau keluar menahan pukat pada kira-kira jam 4 pagi dan apabila semua rakan-rakannya pulang, kelibat suaminya tidak kelihatan.
Setelah menyedari suaminya tidak pulang pada petang itu, Fatimah pergi ke pangkalan nelayan untuk bertanya kepada rakan-rakannya, namun hampa.
Sehubungan itu, berkongsi kesedihan yang menimpa, Dewan Muslimat PAS dan To’ Puan Zainab menghulurkan sedikit sumbangan bagi mengurangkan beban Fatimah sekeluarga.











