Hadapi Gelombang Fitnah Dengan Petunjuk Wahyu

1810

Oleh : Rohayati Ripin

DUNGUN – PAS menjangka gelombang fitnah media baharu sangat luar biasa terutamanya menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 dengan tohmah akan menular dalam media sosial.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam menghadapi situasi itu ahli dan penyokong, perlu menjadikan Rasulullah sebagai panduan.

“Nabi SAW peringatkan kita, jangan kau masuk dalam gelombang fitnah bila mana fitnah itu sedang membara. Jangan kamu rasa hebat untuk berlawan fitnah bilamana fitnah itu muncul. Hendaklah kamu sabar bilamana fitnah itu terkena pada kamu.”,

“Presiden PAS dalam ucapan penutup Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) Kelantan 2017 di Kota Bharu mengingatkan kita agar sentiasa bersedia kerana suasana PRU 14 tidak sama dengan PRU 13 dan PRU12 sebelumnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen dan Munaqasyah Rakyat Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Masjid Lama, Kampung Sura, Sabtu 19 Ogos, disini.

Menurutnya, segala langkah dan tindakan politik PAS tidak hanya sekadar berpandukan logik akal semata-mata, tetapi mesti mendapat suluhan wahyu Allah.

Katanya, Islam telah mengajar manusia cara bersiasah melalui tindakan para Nabi dan RasulNya.

“Ahli PAS diingatkan supaya tidak hanyut berpolitik dalam berdepan dengan gelora fitnah sehingga terikut-ikut kaedah politik barat dan jahiliyah yang meminggirkan Al-Quran dan As-Sunnah,

“Dan PAS meraikan kepelbagaian latar belakang agama, budaya, bahasa dan loghat, etnik serta kaum yang ada di Malaysia kerana kita bukan parti yang hanya mementingkan Melayu bahkan Islam ini ialah untuk menyelamatkan seluruh manusia,” tegas beliau.

Beliau menambah, pengalaman PAS dalam pentas politik negara yang mencecah lebih daripada 66 tahun merupakan tempoh yang paling lama dan paling matang menghadapi sejarah politik negara meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran, PAS terus istiqamah dengan prinsip Islamnya dan tidak pernah sesekali tertinggal diatas nota perjuangan PAS.

“Kita tegaskan bahawa PAS tidak pernah berganjak dari pendapat Islam yang kita bawa. Siapa sekalipun yang akan jadi Presiden, dasar PAS tetap sama dan kita terus istiqamah diatas dasar Islam tersebut,

“Ketidakstabilan politik tanah air yang begitu membimbangkan kita, penguasa yang bermaharajalela membelakangi kepentingan syariat dan jawatan menjadi suatu rebutan bagi mengisi tajuk perbincangan. Semua ini politik cerminan barat yang berpaksi kepada tiga tunjang utama iaitu kekayaan, kekuasaan dan pengaruh,” katanya.

Justeru, PAS hadir untuk membetulkan ‘aligment’ berpolitik yang banyak berasaskan persepsi tidak matang dan penuh kebencian bagi membina politik berasakan akidah, kematangan dan rasional.

“Akhirnya kita duduk dalam suasana yang tidak realistik sehingga menyebabkan cara kita berfikir, merancang dan berhijrah menjadi tidak realistik. Kita perlu buat anjakan. Siapakah lagi yang akan membetulkan elemen politik negara kalau tidak pada PAS?,

“Kenapa hanya PAS? Kerana kita bertunjangkan Al Quran yang pasti benar dan tidak pernah bohong kerana wahyu Allah tak pernah salah,” jelas beliau lagi.