Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Tindakan sambil lewa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan masalah dadah masakini, dilihat seolah-olah mereka hanya ‘menyapu ke bawah karpet’ bagi menyembunyikan keadaan yang sebenar.
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan yang ada hari ini mereka seolah-olah tidak menghadapi masalah sedangkan pemimpin kerajaan Umno dan BN pernah mengumumkan tahun 2013 sebagai tahun sifar dadah .
“Maknanya dadah tidak ada dalam masyarakat negara kita dan jika dilihat perkembangan di negara Filipina yang bertindak tindakan keras terhadap mereka yang terlibat dalam penagihan dan pengedaran dadah,
“Dan yang terbaru kita tengok kerajaan telah seolah-olah melonggarkan lagi (hukuman). Tidak ada lagi kemungkinan hukuman mandatori yang melibatkan dadah,


“Jadi nampaknya pengedaran dadah akan lebih akan berkembang dan kita tengok masalah dadah ini sampai kepada pusat-pusat serenti seolah-olah benda itu tidak boleh diselesaikan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh HARAP TV bagi menjelaskan manifesto awal PAS Terengganu untuk menghadapi pilihan raya ke-14, semalam Rabu 9 Ogos di sini.
Menurutnya, PAS menawarkan dalam manifestonya iaitu untuk mewujudkan pusat pemulihan dadah secara ‘holistik’ sebagai tambahan kepada usaha yang sedia ada.
“PAS inshaallah kalau diberi peluang memerintah menawarkan sebagai penyelesaian kepada masalah yang makin hari makin meruncing dalam masyarakat kita. Perkara ini sebenarnya ia mempunyai perkaitan jalinan dalam masyarakat itu sendiri,


Tambahnya lagi, dengan mengambil kira komponen keberkatan dan kesejahteraan bukan hanya pada kehidupan duniawi, fizikal dan metarial, tetapi juga mengambil kira soal spiritual.
“Hubungan sosial dan masyarakat, hubungan manusia dengan ketuhanan dengan mengambil kira tentang dunia dan akhirat,
“Kita yakin Islam itu penyelesai masalah dan dengan pendekatan yang PAS bawa in sha Allah menggabung jalinkan bukan hanya luaran fizikal tapi spiritual, keimanan, ketakwaan dengan cara zikrullah dan pengisian perubatan, rawatan secara total,” tegasnya.





























