Razif Tak Peduli Nasib Rakyat Seberang Takir

3375

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA TERENGGANU – Tindakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif yang membina jambatan angkat (draw brigde) yang menelan kos RM300 juta disifatkan sebagai tidak mempedulikan nasib rakyat terutamanya di Seberang Takir.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, YB Dr Alias Razak berkata, PAS bukan nak halang buat jambatan tetapi tidak perlu dibuat jambatan angkat yang nilainya hampir 300 juta. Cukup untuk buat jambatan biasa. Yang nilainya mungkin tak sampai 100 juta.

“Razif ni antara menteri besar yang kepala dia ‘pelik’ sikit. Dia buat jambatan daripada utara sungai Terengganu hingga selatan sungai Terengganu,

“Tapi direka satu bentuk jambatan ..… Satu model jambatan (yang) tidak ada dalam Asia ni. Nok pelik pada orang. Dengan belanja yang begitu besar menggunakan duit rakyat,

“Sedangkan rakyat Seberang Takir pun ramai yang miskin lagi. Yang tak ada tanah pun lagi. Yang tak ada rumah pun ramai lagi. Pulau Duyong ramai lagi yang tak ada rumah. Yang menumpang tanah orang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana 2, di program Himpunan Harapan Semua -PAS Ganti Umno (HARAP-PGU) 3.7 yang diadakan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, 28 Julai, disini.

Menurutnya, kerajaan Umno dan Barisan Nasional yang dipimpin Dato’ Seri Ahmad Razif sanggup belanja beratus juta untuk projek yang tidak memberi faedah yang besar (kepada rakyat).

“(Sedangkan) ada alternatif yang lain. Yang harganya lebih murah dan tujuannya sama. Matlamatnya sama, dapat menyelesaikan masalah perhubungan,

“Tapi saja dia buat satu projek yang menelan belanja yang besar menggunakan duit rakyat kerana itu akan memberi keuntungkan yang besar kepada kroni-kroni mereka,” jelas beliau.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal mengajak rakyat Terengganu agar tidak lupa pengkhianatan Umno dan Barisan Nasional.

“Oleh itu untuk pilihan raya yang akan datang kita jangan lupa. Ingat perkara ini dan sampaikan perkara ini (kepada semua) supaya tidak ada lagi orang memberi undi kepada kerajaan (Umno dan Barisan Nasional) yang mengkhianati hak rakyat mereka sendiri demi kepentingan kroni-kroni mereka,

“Kita kena sentiasa ingat kezaliman-kezaliman ini dan inilah yang membawa kita ini terus istiqamah untuk menentang Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang,” tegasnya.

Katanya, rakyat mesti menentang Umno dan Barisan Nasional selagi mereka tidak kembali kepada Al-quran, As-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Kias.

“PAS istiqamah. Kita istiqamah sebab apa? Sebab kita berpegang pada Alquran dan AsSunnah. Alquran dan As Sunnah tidak pernah berubah,

“Sebab itulah perjuangan kita. Istiqamah sehingga kita berjaya mencapai kemenangan samada kita menang di dunia yang dekat ini ataupun yang pastinya kita akan menang di akhirat kelak insya Allah,” tegas Dr Alias.